Pembeli memilih pelbagai jenis kerepek yang dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Kerepek Ubi Pedas Mastuki dan Zaronah, Parit Sulong, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2022.

PARIT SULONG – Seorang pemuda tidak menyesal selepas menolak tawaran kerja sebagai penjawat awam kerana mahu menumpukan kepada perniagaan kerepek yang diusahakan oleh keluarganya.

Meskipun pada mulanya merasa rugi selepas menolak tuah yang datang, namun, atas tekad mahu melihat perusahaan ibu dan bapanya berkembang Mohd Dzulkarnain Mastuki, 32, mengambil keputusan menolak bulat-bulat tawaran sebagai juru x-ray tanpa diketahui orang tuanya.

Pemegang Diploma Pemasaran itu ketika menceritakan pengalamannya mengakui puas mencari kerja selepas tamat pengajian dari Politeknik Merlimau Melaka.

Katanya, terlalu banyak permohonan kerja yang dihantar sebelum ini, tetapi kebanyakan tidak berjawab sehinggalah akhirnya dia menerima tawaran ke jawatan itu daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Bagaimanapun, hatinya tiba-tiba dijentik perasaan terharu selepas melihat jerih perih kedua ibu bapanya menggunakan kudrat untuk menjual kerepek seawal pagi yang juga merupakan punca rezeki bagi membesarkannya.

Disebabkan perasaan itu juga, beliau akhirnya menolak tawaran kerja yang diterima.

“Dulu memang banyak buat permohonan kerja, maklumlah baru habis belajar. Tapi, bila tengok mak susah tiada orang tolong, itu yang buatkan saya ambil keputusan nak kerja dengan dia.

“Memang saya dah tolong dia pun sejak dari bangku sekolah lagi dan bila saya renung-renungkan, tak apa lah saya tolak tawaran kerja kerajaan tu untuk bantu dia berniaga,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika di temui di sini.

Mohamad Dzulkarnain Mastuki

Menceritakan lanjut, anak kedua dari lima ada adik beradik itu mengakui agak kurang minat dengan kerja yang dilakukannya itu tetapi, dia berpandangan jauh dan yakin perusahaan keluarganya itu akan berkembang maju.

Dengan ilmu yang dimiliki ketika berada diperingkat pengajian, Dzulkarnain yang mesra disapa Zul berkata, dia kini menggunakan media sosial untuk mempromosikan perniagaan kerepek tersebut.

Ujarnya, dia menggunakan medium seperti Facebook, Tiktok dan Instagram untuk menguar-uarkan perniagaannya sehinggalah mendapat sambutan luar biasa terutama ketika sambutan perayaan Aidilfitri.

Malah, dia juga tidak lokek untuk memberikan komisen kepada pekerja-pekerja di kilang kerepek keluarganya itu sehingga ada yang meraih pendapatan sehingga RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Zul berkata, setakat ini perniagaan yang didaftarkan dengan status enterprise itu memiliki pekerja lebih dari 30 orang yang kebanyakannya merupakan bekas graduan dari institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, beliau sering kali menasihati pekerja-pekerjanya dan memberi galakkan supaya berkerja bersungguh-sungguh sekiranya mahu berjaya walaupun dalam apa jua bidang yang diceburi.

Katanya, meskipun mereka memiliki kelayakan pendidikan yang tinggi, namun dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan komitmen tinggi pasti akan membawa kejayaan tidak diduga.

Ditanya mengenai cabaran dalam perniagaan yang dihadapi pada masa ini, Zul berkata, dia bergelut dengan kos harga barang yang meningkat sehingga memberi kesan kepada harga jualan makanan ringannya itu.

Sementara itu, bapanya Mastuki Noor, 65, berkata, dia berbangga dengan anaknya yang kini diberi mandat menjadi “bos” di kilang yang dibangunkannya itu.

Katanya, dia tidak lagi melakukan kerja-kerja berat dan hanya menjadi penasihat serta memantau perjalanan perniagaan pada setiap masa.

Mastuki Noor

“Dulu masa dia tolak kerja kerajaan tu saya pun tak tahu. Terpulanglah kepada dia sebab saya pun pada mulanya tak paksa dia buat kerja-kerja macam ni.

“Tapi, Alhamdulillah sejak dia tolong, perniagaan bertambah maju. maklumlah orang muda macam-macam cara dia tau nak memasarkan perniagaan supaya orang lebih tahu,” tambahnya yang sebelum menjalankan perusahaan itu pernah menjual pakaian bundle di pasar-pasar malam.

Perusahaan kerepek ubi pedas Mastuki & Zaronah terletak di Kampung Parit Lapis Laman di dalam kawasan Parlimen Parit Sulong. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast