SEREMBAN —Wartawan MalaysiaGazette yang diserang ketika membuat liputan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malam tadi, terpaksa bersembunyi di bawah meja dalam sebuah khemah berhampiran bilik gerakan sebuah parti bagi menyelamatkan diri.

Menurut wartawan berkenaan, beliau terpaksa berlari lebih 300 meter dari lokasi kejadian ke khemah itu kerana dikejar seorang lelaki India yang memegang botol arak.

Katanya, beliau hanya berani keluar daripada tempat persembunyian itu apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian.

Mengimbas kembali detik-detik cemas itu, beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 7 malam semasa beliau bersama jurukamera dan jurufoto membuat liputan kempen Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rasah, Ng Kian Nam di sebuah restoran di Seremban Jaya.

Katanya, situasi menjadi haru-biru apabila Kian Nam dihalau dan dilemparkan dengan kata-kata kesat oleh empat lelaki India yang sedang berada di restoran berkenaan ketika beliau mengedarkan risalah kempen.

Kru MalaysiaGazette yang berada di situ cuba merakam video detik-detik provokasi berkenaan turut ditolak dengan kasar dan dimaki.

“You siapa? Apa rakam-rakam?” soalnya kepada wartawan dengan nada yang tinggi.

Wartawan MalaysiaGazette kemudiannya menjelaskan beliau bersama kru sedang bertugas sambil menunjukkan pas media sebagai bukti.

“Apa Press-Press?” jawabnya sambil berkeras mahu kru MalaysiaGazette meninggalkan premis itu.

Kesemua jentera kempen BN dan kru MalaysiaGazette berkumpul di sebelah kedai berkenaan sementara menunggu bantuan polis.

Bagaimanapun, menurut wartawan berkenaan, seorang lelaki India yang ternampak beliau sedang mengintai keadaan di dalam restoran itu bertindak meluru keluar dan mengejarnya.

Berdasarkan video yang sempat dirakam, lelaki itu membaling objek seperti botol arak ke arah beliau.

Calon Barisan Nasional Rasah, Ng Kian Nam mengedarkan risalah kempen pelanggan di sebuah restoran sebelum dihalau dan dimaki oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di Seremban Jaya, Negeri Sembilan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 NOVEMBER 2022.

Wartawan berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Seremban kira-kira 9 malam semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, dua lelaki yang disyaki mengugut dan melakukan kekasaran terhadap wartawan MalaysiaGazette telah ditahan di Taman Seremban Selatan, kira-kira 11.50 malam tadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast