KUALA LUMPUR – Tindakan Nga Kor Ming memuat naik ciapan di laman Twitter mengecam paparan video tular seorang lelaki mencabut bendera Pakatan Harapan (PH) menerima reaksi netizen.
“Jika anda tidak bersetuju dengan perangai buruk macam ini, mohon semua kawan-kawan undi HARAPAN demi Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam ciapan tersebut.
Seorang netizen terus membalas ciapan tersebut menyifatkan pentadbir Twitter pemimpin DAP itu sebagai tidak berguna.
Ini kerana polis telah mengesahkan bahawa lelaki tersebut merupakan ejen pemantau PH untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor, berkata tindakan lelaki tersebut adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan Ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) PP-KPR Parlimen Lembah Pantai.
Artikel berkaitan: Lelaki turunkan bendera PH adalah ejen pemantau parti
Arahan tersebut dikeluarkan setelah perbincangan dibuat dengan wakil calon Parlimen Lembah Pantai kerana pemasangan bendera itu telah menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara.