BATU PAHAT – Selepas lapan hari berkempen, Calon Perikatan Nasional (PN) Simpang Renggam yakin boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mohd. Fazrul Kamal berkata, berdasarkan maklum balas penduduk Simpang Renggam yang ditemuinya, beliau meletakkan 80 peratus keyakinan bakal dipilih.
Katanya, beliau mempunyai kelebihan sebagai anak jati Simpang Renggam kerana rata-rata pengundi meluahkan rasa mahu seorang pemimpin dalam kalangan anak tempatan yang lebih memahami.
“Hanya saya seorang sahaja anak tempatan yang menjadi calon di Simpang Renggam.
“Tambahan pula, pengundi Simpang Renggam selesa dengan calon PN dan mereka mahukan seorang pemimpin yang memahami,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Mohd Fazrul yang memfokuskan isu pendidikan kemahiran sebagai agenda utama kempennya berkata, ia merupakan isu yang sangat penting ketika ini.
Jelas beliau, anak-anak muda boleh menjana pendapatan serta memperbaiki taraf hidup dan ekonomi jika memiliki kemahiran.
“Anak muda banyak yang terkesan sebab ada yang tidak memiliki pekerjaan dan itu sudah pasti menjejaskan keharmonian hidup mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Fazrul mendakwa, kempen yang dilakukan oleh calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik tidak mendapat sambutan.
Tambahnya, kempen penyandang kerusi Simpang Renggam itu hanya meriah apabila pemimpin-pemimpin utama PH seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berceramah.
Tanpa bantuan Pengerusi PH itu, kempen Maszlee adalah hambar.
Mohd. Fazrul juga mendakwa, dalam satu siri ceramah yang diadakan di sebuah dewan, ramai yang angkat punggung keluar dari bangunan selepas juru acara majlis menjemput Maszlee untuk berucap.
“Ada sumber-sumber yang memberitahu, bila mana Dr Maszlee berucap tiga suku di dalam dewan keluar, tapi kalau Anwar Ibrahim penuh (dewan).
“Tapi saya tidak tahu apa isi kandungan ceramah Maszlee,” ujar beliau yang berdepan saingan empat penjuru dengan dua lagi calon adalah dari parti Barisan Nasional (BN) dan parti Pejuang. – MalaysiaGazette