Pengerusi BN Perak yang juga calon Barisan Nasional (BN) N. 04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Padang Permainan Meru Jaya, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2022.

TAPAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Saarani Mohamad menolak dengan dakwaan wujudnya ‘penolakan senyap’ dalam kalangan pengundi tempatan terhadap calon BN Gerik, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Sebaliknya kata Saarani yang juga Menteri Besar Perak, mungkin ada berlaku sedikit rasa tidak gembira dalam kalangan segelintir termasuk UMNO Bahagian Gerak memandangkan calon bukan wakil tempatan.

Namun katanya, isu itu sudah diselesaikan dengan cara baik dan kesemua jentera kini bekerja dengan Asyraf secara baik memenangkan calon BN di Parlimen Gerik.

gerik
Asyraf Wajdi Dusuki

“Dulu mungkinlah kata ada sedikit kekecohan kerana calon  dibawa itu bukan calon tempatan. Waktu itu sebelum penamaan calon tetapi kekecohan itu sudah ditangani. Perkara ini sudah selesai kerana dua hari lepas saya ada turun Gerik.

“Saya pergi ke Kampung Jong di situ untuk memberi sumbangan dan berkempen, saya sempat menyelami masyarakat di situ untuk melihat kemungkinan protes senyap terhadap Datuk Asyraf Wajdi. 

“Namun daripada cara masyarakat Gerik dan jentera BN bersama-sama turun padang untuk memastikan BN memperoleh kemenangan, tiada sebarang penolakan atau masalah terhadap calon Parlimen Gerik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Balai Desa Semai Kampung Orang Asli Sungai Lah di sini hari ini yang turut di hadiri oleh calon Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dan calon Chenderiang, Choong Sen Hing.

Tambah Saarani lagi, kemenangan BN di kerusi Gerik juga hampir pasti dengan maklum balas penduduk setempat ketika ini.

“Kalau dahulu orang kata Gerik kerusi kawasan kelabu kerana ada kekecohan tetapi disebabkan tiada masalah dalaman sekarang, ia sudah jadi kerusi putih,” ujarnya.

Sebelum ini, kehadiran Asyraf Wajdi sebagai calon BN di Parlimen Gerik dikatakan ditolak kerana beliau bukan calon tempatan serta mendapat tentangan kalangan UMNO itu sendiri. -MalaysiaGazette