Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap ketika menghadiri Program Sembang Santai : Mahasiswa : Youth Copy DJ di PPR Hiliran Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menawarkan diri mahu menjadi penasihat anak muda bagi membantu golongan itu meningkatkan potensi diri dalam menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa berkata, pemerkasaan terhadap golongan muda antara agenda utamanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, beliau akan menggunakan segala pengalamannya sepanjang terlibat dalam bidang perniagaan untuk memberi nasihat berguna kepada kumpulan berkenaan.

“Golongan muda ketika ini masih ramai yang belum ada pekerjaan, tetapi mereka suka meniaga. Jadi, saya boleh jadi penasihat, tetapi tidak mahu secara individu kerana mahukan dalam bentuk kumpulan.

“Di Parlimen Titiwangsa, ada lebih 10 kumpulan anak muda dan mereka bukannya memberi fokus kepada politik, sebaliknya hanya menjalani kehidupan mengikut cara sendiri sama ada berniaga atau belajar.

“Jika mereka ini mahu nasihat, saya boleh berikan semua pengalaman saya selama ini,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Mahasiswa ; Youth Copy DJ, di Ampang, hari ini.

Johari Abdul Ghani (dua kiri) bergambar bersama selepas Program Sembang Santai : Mahasiswa : Youth Copy DJ di PPR Hiliran Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 NOVEMBER 2022.

 

Johari sentiasa mengalu-alukan golongan muda untuk merujuk kepada beliau sekiranya memerlukan pandangan, malah berjanji untuk menawarkan nasihat berguna kepada mereka.

“Mereka (orang muda) boleh merujuk kepada saya, mungkin tidak dijanjikan duit, tetapi akan berikan nasihat berguna. Saya akan gunakan pengalaman terlibat secara langsung dalam perniagaan untuk membantu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang merupakn bekas Menteri Kewangan II, juga berhasrat untuk menubuhkan kelab atau badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya buat golongan muda.

Ia bertujuan memupuk semangat kepimpinan, seterusnya berupaya melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin negara.

“Untuk golongan muda, khususnya yang berumur 18,19 dan 20 tahun, mereka ini masih tiada pendedahan daripada segi kerajaan yang perlu dicari kerana hanya mendengar cakap-cakap orang sahaja.

“Jadi, saya mahu setiap tempat dalam Titiwangsa ada golongan muda lebih daripada 20 orang untuk menubuhkan kelab atau NGO bagi membolehkan kita berhubung dengan mereka dan mengajar ciri kepimpinan,” ujarnya.

Pada PRU15 ini, sebanyak 1.4 pengundi muda berusia 18 hinga 20 tahun telah didaftar secara pemilih dan daripada jumlah itu seramai 5,216 pengundi bakal memilih di Parlimen Titiwangsa. – MalaysiaGazette