KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin politik sepatutnya sudah ‘move on‘ daripada strategi berkempen secara lapuk dengan menggunakan agama, fitnah, mengaibkan dan berkata buruk kepada pihak lawan.
Pendekatan berkempen ini sudah tidak sesuai lagi dipraktikkan lagi kerana penduduk Malaysia sudah berpendidikan tinggi dan rasional.
Felo Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Teo Kok Seong sedih dan kecewa kerana figura-figura parti politik masih berkempen secara negatif di atas pentas.
“Mengata, mengaib, memfitnah antara pemimpin lawan, menggunakan agama untuk menakutkan pengundi, seolah-olah tidak ada air muka, tidak malu untuk membuat dosa terbuka.
“Saya percaya dan yakin rakyat Malaysia tidak suka politik sempit begini, lebih-lebih lagi pengundi muda,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau yang mengikuti perkembangan kempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 ini sejak awal tertanya-tanya apakah sebenarnya yang mahu ditonjolkan oleh pemimpin begini.
Sedangkan, selepas PRU14, rakyat negara ini begitu rindukan kestabilan politik, mahu menikmati semula pengukuhan ekonomi, hendak hidup kesejahteraan dan harmoni.
“Kita semua mahu kehidupan kita seperti dulu, sejak selesai PRU14 sehingga hari ini kita sudah lihat banyak detik dan peristiwa yang merimaskan, meloyakan. Dalam erti kata lain rakyat sebenarnya sudah penat dengan gelagat ahli politik yang tidak sudah-sudah berpolitiking.
“Kalau kamu bergaduh, tak puas hati, mahu membenci dalam kalangan kamu tak perlu tunjukkan di depan rakyat kerana tiada siapa peduli pun,” tambahnya.
Yang rakyat hendak tahu apabila parti-parti berkempen apakah yang mereka mahu tawarkan kepada negara dan rakyat pada pilihan raya kali ini.
“Kalau semasa kempen pun masih berpolitiking, jadi arah mana pemimpin-pemimpin ini mahu mentadbir negara? Takkan sepanjang 14 hari berkempen digunakan untuk mengutuk, mengata.
“Apakah visi kalian bertanding, untuk apa?,” soal Kok Seong serius.
Sewajarnya pentas kempen pilihan raya dijadikan platform terbaik untuk parti-parti politik berlumba-lumba menawar dan membincangkan serta mengajak rakyat bersama-sama membangun dan membina negara.
Sepanjang 14 hari ini, sepatutnya mengajak rakyat berfikir menjadikan Malaysia kembeli cemerlang di mata dunia.
“Bukan mengajak kami mendengar perkara-perkara negatif, yang akhirnya tidak membawa kebaikan langsung kepada rakyat. Kalau sayangkan Malaysia, sayangkan rakyat berhentilah,” ujar beliau lagi.
Kok Seong menasihatkan pemimpin-pemimpin utama parti jangan mengajar pewaris mereka dengan budaya yang masih mereka tonjolkan hari ini.
“Tak guna pun parti-parti politik membentuk gagasan atas apapun alasan, menampilkan pemimpin muda, melaung-laungkan demokrasi tapi tidak adab kerana yang tua tidak menunjukkan sikap baik, yang akhirnya akan membawa banyak kemungkaran pada masa depan.
“Cukuplah pelapis yang anda warisi pada hari ini, jangan lagi menambahnya,” kata beliau yang mahu melihat Malaysia memiliki pemimpin bersifat negarawan. – MalaysiaGazette