Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama calon Pejuang P.113 Parlimen Sepang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim beramah mesra bersama penduduk ketika hadir walkabout sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Pagi Taman Dengkil, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 NOVEMBER 2022.

SEPANG – “Tiada manifesto panjang, kita hanya berjanji untuk kayakan orang miskin,” kata Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanyakan manifesto gabungan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon Parti Pejuang Langkawi itu berkata, beliau bertekad membela nasib rakyat yang dibelenggu kemiskinan.

“Kita tengok rakyat mahu cari duit bukan mudah, macam di sini mereka perlu berniaga tapi berniaga pun kecil saja. Kalau kita menang, kita akan cari jalan agar peniaga yang miskin ini dapat peluang yang lebih banyak,” ujarnya.

Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto MUHD NA’IM, 13 NOVEMBER 2022.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas meninjau nasib kebanyakan peniaga di Pasar Pagi Taman Dengkil di sini yang didakwanya hanya mampu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Rentetan itu, Dr. Mahathir berharap pengundi dapat menilai yang mana intan, yang mana kaca ketika melaksanakan tanggungjawab pada tanggal 19 November ini agar keluhan rakyat terbela.

“Dulu masa jadi kerajaan pun kita buat demikian (bantu rakyat), kita cari orang melabur dalam negara. Bila pelaburan banyak, maka peluang pekerjaan meningkat sekali gus pendapatan mereka pun bertambah,” ulasnya.

Terdahulu, Dr. Mahathir bersama calon Parlimen Sepang, Datin Seri Paduka Che Asmah Ibrahim beramah mesra serta menyantuni pengunjung dan peniaga di Pasar Pagi Taman Dengkil.

Kawasan P.113 akan menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Parti Rakyat Malaysia, BN serta tiga calon bebas.

Sementara itu, Dr.Mahathir turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang menawarkan lebih awal pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4.

Katanya,perkara itu boleh dianggap sebagai ‘membeli’ undi dan ia merupakan rasuah kerana tawaran dibuat sebelum PRU15.

“Waktu ini kalau kita bagi duit kepada rakyat maka ia seperti rasuah. Mereka (Barisan Nasional) bagi duit sebelum 19 November maka itu rasuah untuk beli undi.

“Sebenarnya Perdana Menteri Interim tidak boleh beri duit dekat orang, ini salah di sisi undang-undang. Ini belum lagi jadi Perdana Menteri, macam mana agaknya kalau sudah pegang jawatan nanti,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast