KUALA LUMPUR – Semalam naik e-skuter, hari ini memandu tuk tuk pula.
Calon Barisan Nasional (BN) Batu, Datuk A. Kohilan Pillay dilihat cuba menggunakan pelbagai kaedah menarik untuk mendekati pengundi di kawasan itu.
Pagi tadi, Kohilan memandu sendiri tuk tuk sambil membunyikan hon dan melambai tangan ke arah pengundi di sekitar kawasan perumahan Batu Muda, dekat sini.
Ia ibarat adegan filem Tamil lakonan Rajinikanth bertajuk Bashaa pada tahun 1992.
Pengurus jentera kempen BN di Batu, Gulam Muszaffar berkata, Tuk Tuk itu diaturkan khusus sebagai medium kempen bagi mendekati dan meraih sokongan pengundi di Parlimen Batu.
“Tuk Tuk berkenaan juga akan digunakan untu berkempen ke kawasan-kawasan perumahan lain Keluarga Batu selepas ini sekiranya ia bersesuaian dengan situasi dan keadaan,” katanya.
Dalam pada itu Kohilan berkata, beliau teruja dengan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi komuniti Cina dan India yang telah kembali semula kepada BN.
“Saya rasa manifesto saya menjadi salah satu faktor yang menyumbang untuk menarik pengundi.
“Saya juga berpendapat manifesto itu berjaya menanam keyakinan pengundi keluarga Batu untuk menganggap BN masih relevan dan satu-satunya parti yang membela nasib dan masa depan mereka,” katanya.