Mehran Karimi Nasseri. Foto Agensi

ISTANBUL – Seorang lelaki Iran yang tinggal selama 18 tahun di lapangan terbang Perancis dan mengilhamkan filem Steven Spielberg The Terminal meninggal dunia pada Sabtu, menurut laporan media.

“(Mehran Karimi) Nasseri disahkan meninggal dunia secara semula jadi oleh pasukan perubatan lapangan terbang di Terminal 2F,” lapor Anadolu Agency memetik CNN yang memetik jurucakap lapangan terbang Paris-Charles de Gaulle pada Sabtu.

Nasseri, yang dilaporkan lahir pada 1945 daripada keluarga Iran-British, terperangkap di lapangan terbang antarabangsa Paris Charles de Gaulle pada 1988 kerana tidak mempunyai dokumentasi perjalanan yang diperlukan.

Digelar Sir Alfred, beliau tinggal di lapangan terbang sehingga 2006 apabila dimasukkan ke hospital.

Selepas keluar dari hospital, dia ditempatkan di rumah perlindungan Paris dari 2008, menurut laporan.

Beliau kembali tinggal di lapangan terbang sejak beberapa minggu kebelakangan ini sehingga kematiannya pada tengah hari Sabtu, tambah laporan itu, sambil menyatakan bahawa Nasseri sentiasa menyimpan bagasi di sisinya, membaca, dan mencatatkan nota dalam diarinya semasa berada di lapangan terbang.

Keadaan Nasseri memberi inspirasi kepada filem The Terminal oleh Steven Spielberg pada 2004, yang dibintangi Tom Hanks sebagai Viktor Navorski, seorang lelaki Eropah Timur yang terperangkap di lapangan terbang New York kerana rampasan kuasa tentera di negara asalnya, menghalangnya untuk pulang. – BERNAMA