Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN N.37 Guai, Datuk Sabariah Saidin bergambar kenangan dengan penduduk yang hadir pada Program Sukaneka Keluarga Kampung Bukit Serdang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuala Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

BERA – Kerajaan akan menyiasat secara keseluruhan punca gangguan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) yang berlaku baru-baru ini.

Lebih-lebih lagi sudah dua kali ia berulang dan kali ini berlaku semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Perdana Menteri.

“Ia kali kedua berlaku sewaktu saya jadi PM. Rungsing dalam fikiran saya, waktu kita berkempen dan saya arahkan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Wee Ka Siong) agar ia tak lagi berlaku,” katanya dalam sidang media di Batu Papan hari ini.

Beliau mengulas insiden gangguan LRT Kelana Jaya ke Ampang Park yang dihentikan selama tujuh hari susulan masalah sistem kawalan automatiknya yang tidak stabil baru-baru ini.

Ismail Sabri dimaklumkan pihak LRT yang pasukan teknikal Rapid Rail dan pengeluar sistem, Thales Group dari kanada dan Singapura sedang bekerja keras untuk memulihkan pengangkutan awam itu.

“Setakat ini semua sistem keselamatan stabil mengikut data ujian yang diperoleh dengan menggunakan 38 set tren di laluan Putra Heights ke Gombak sepanjang hari ini.

“Sistem isyarat sedang diuji lagi malam ini dan LRT Kelana Jaya sudah boleh beroperasi,” katanya lagi.

Beliau yakin perkhidmatan LRT di beberapa stesen terjejas dapat dipulihkan lebih awal iaitu sebelum 15 November ini. – MalaysiaGazette