SABAK BERNAM – Pertembungan lebih tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di semua kerusi Parlimen di Selangor dijangka menyukarkan pengundi membuat pilihan kerana persaingan sengit.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pilihan raya kali ini jauh berbeza dengan sebelum ini yang lazimnya melibatkan dua atau tiga penjuru sahaja.
Noh memberitahu, ia menyebabkan pihaknya sukar membuat ramalan tahap sokongan pengundi terhadap parti-parti yang pertandingan khususnya parti utama termasuk BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Sebelum ini kita mudah membuat ramalan kerana tidak banyak parti bertanding seperti BN, Pas dan PH.
“Kini ada parti lain akibat faktor perpecahan dan menyebabkan saingan lebih tinggi termasuk Undi18 golongan belia,” katanya di sini, malam tadi.
Terdahulu Noh berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dalam Program Kenduri Rakyat di Kampung Dato’ Hormat, Sungai Air Tawar.
Tambah Noh, BN mempunyai kelebihan sekiranya pengundi ‘putih’ parti itu keluar mengundi pada Sabtu depan.
“Pengundi atas pagar mungkin ada berlaku pecah undi kepada parti yang mereka pilih.
“Jika pengundi putih BN kekal menyokong, kita sudah tentu mempunyai kelebihan berbanding parti lawan,” katanya.
Noh turut mengulangi sasarannya untuk memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen sebagai penyuntik semangat untuk merampas Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
“Jika memperoleh sasaran itu, tidak mustahil kita mampu menawan Selangor yang diperintah PH sejak tiga penggal lalu.
“Jika mendapat 10 kerusi Parlimen, saya yakin semangat itu akan dibawa ke DUN Selangor apabila dibubarkan nanti,” katanya.
Katanya lagi, BN Selangor menampilkan calon baharu yang diyakini mampu menarik sokongan pengundi.
“Saya cuba terbaik membawa tokoh di peringkat kebangsaan seperti Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Khairy Jamaluddin dan Datuk Abd. Rahman Bakri yang kembali memperkuatkan kita.
“Sebelum ini hanya tinggal satu kerusi Parlimen yang dimenangi saya di Tanjong Karang.
“Dengan bantuan daripada dua Menteri Persekutuan seperti Tengku Zafrul dan Khairy diperlukan bagi membantu BN di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette