KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa memohon maaf kepada wanita di seluruh negara ini kerana kenyataan yang dibuat olehnya berhubung kemampuan wanita sebagai wakil rakyat bersifat seksis, sangat prejudis dan menghina pemimpin-pemimpin wanita
Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan Sanusi mempersoalkan kemampuan wanita untuk menjadi wakil rakyat yang berkesan adalah sesuatu yang mengejutkan.
”Sehubungan itu, kami menggesa Datuk Seri Muhammad Sanusi dengan segera dan dengan sepenuh hati memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya wanita serta menarik balik kenyataan menghina berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Zuraida, jika gagal berbuat demikian, Sanusi wajar melepaskan jawatan sebagai pemimpin negeri kerana pendiriannya terhadap wanita adalah satu penghinaan kepada kerajaan negeri dan dewan penggubal undang-undang yang beliau adalah sebahagian daripadanya.
”Tidakkah beliau sedar Malaysia sangat memandang tinggi peranan wanita di negara ini sehingga Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan turut dipinda pada Julai 2001 bagi menghalang diskriminasi jantina.
”Adakah beliau lupa Pas juga mempunyai beberapa penggubal undang-undang dari kalangan wanita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut meletakkan calon-calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang?
”Adakah beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat bermaksud penggubal undang-undang dari kalangan wanita dalam partinya sendiri adalah mereka yang rendah martabatnya berbanding lelaki dan mereka harus menarik diri dari pilihan raya umum kali ini?
”Adakah beliau baru keluar dari ‘gua’? Mempersendakan bagaimana nanti rupa wakil rakyat wanita atau berapa lama masa akan diambil mereka untuk menghias diri bersiap sebelum dapat melayan rakyat menunjukkan bahawa beliau seperti berada dalam era di mana wanita dilayan sebagai warganegara kelas kedua.
”Adakah beliau lupa bahawa Malaysia sudah melangkah jauh ke hadapan dari era sedemikian sehingga negara kita pernah mempunyai wanita sebagai Timbalan Perdana Menterinya. Tidakkah Datuk Seri Muhammad Sanusi sedar bahawa Ketua Hakim Negara Malaysia adalah seorang wanita?,” soal beliau lagi.
Menurut Zuraida yang juga calon Parti Bangsa Malaysia bagi kerusi Parlimen Ampang, golongan hawa juga ramai yang memegang jawatan penting, antaranya diberi kepercayaan sebagai menteri, ketua setiausaha kementerian dan naib canselor di universiti.
Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang gigih memperjuang dan memperkasakan hak-hak wanita, Parti Bangsa Malaysia berasa amat tersinggung dengan kenyataan beliau.
Justeru itu, PBM menggesa individu yang berpendirian sama seperti Muhammad Sanusi agar berhenti menghina wanita, sebaliknya melayan golongan hawa secara adil dan sama rata dalam usaha kita bersama-sama membina negara bangsa. – MalaysiaGazette