KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta pengundi supaya memberi ruang dan peluang kepada generasi politik baharu di negara ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tasek Gelugor berkata, sudah terlalu banyak masalah dan isu- isu ekonomi yang ditinggalkan generasi terdahulu yang masih belum diselesaikan.
“Kita perlu beri ruang kepada generasi politik baharu untuk datang dan membawa idea-idea baharu yang segar untuk kebaikan negara,” katanya hari ini.
Justeru itu, beliau merayu agar diberikan mandat bagi membawa suara pengundi Tasek Gelugor di Dewan Rakyat kelak.
Pada PRU15, Wan Saiful akan merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam persaingan lima penjuru menentang Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH-Amanah); Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN-UMNO); Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sher Jung (Pejuang).
Kerusi Parlimen Tasek Gelugor adalah antara kerusi tumpuan kerana pada PRU14, kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti hanya 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH (Bersatu) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).
Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini. – MalaysiaGazette