MUAR – Program Debat Polisi yang sepatutnya berlangsung malam ini terpaksa dibatalkan ekoran
tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

Menurut Pengarah Jelajah Demokrasi, Ashraff Fahmy, pembatalan program tersebut juga dibuat susulan Abdullah Husin, calon dari Parti Perikatan Nasional (PN) memaklumkan ketidakhadiranya manakala, tiada sebarang respon diterima daripada Mohd Helmy Abd Latif dari yang merupakan calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, setakat petang tadi hanya calon parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja yang memberikan maklum balas untuk hadir ke program itu.

“Pihak kami sentiasa komited untuk melaksanakan program-program agar dapat meningkatkan literasi politik dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga memupuk semangat demokrasi yang sihat.

“Walau bagaimanapun aspek keselamatan dan kesejahteraan awam dalam memastikan program berjalan dengan lancar menjadi perkara utama dalam pelaksanaan program kami,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Tambah beliau, debat adalah satu wadah yang terbaik untuk rakyat menilai cadangan, tawaran dan juga idea dibawakan oleh calon yang ingin berkhidmat di kawasan berkenaan.

“Semalam kami telah melaksanakan program Debat Wilayah untuk calon Parlimen Ttiwangsa dan kami berharap agar dapat menjayakan lagi sesi debat antara calon pilihanraya pada masa akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette