PERMATANG PAUH – Gelombang dan kebangkitan terhadap Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin jelas berdasarkan sokongan yang ditonjolkan rakyat ketika ini.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sekurang-kurangnya perlu memenangi lima kerusi Parlimen di negeri ini untuk memperoleh dua pertiga majoriti bagi membentuk kerajaan selepas 19 November ini.

Antara kerusi yang perlu dimenangi Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Balik Pulau untuk mendapat majoriti dua pertiga tersebut.

Abdul Hadi berkata, Pas sendiri memilih berada di dalam PN demi untuk penyatuan ummah dan beliau berharap pengundi tidak lagi terpedaya dengan janji manis Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Kita pakai simbol PN, saya bukan biasa pakai warna biru ni kerana nak menyatukan ummah kita pakailah.

“Jadi kita harap rakyat memilih PN dan kita seboleh-bolehnya kena dapat majoriti dua pertiga untuk dapat majoriti dua pertiga.

“Maka semua kerusi Parlimen yang kita bertanding itu mesti dimenangkan. InsyaAllah kita bersatu padu undi PN dan pada 20 November ini kita tubuh kerajaan dengan izin Allah,” katanya ketika berucap pada ceramah umum PN di Kubang Semang di sini, malam tadi.

Hadir sama, dua calon PN daripada Pas, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dan Steven Koh (Pas-DHPP) serta barisan kepimpinan Pas Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PN mampu meraih kemenangan di Perlis dan Pahang berdasarkan gelombang baharu sokongan rakyat di kedua-dua negeri itu dengan adanya pemimpin UMNO yang digugurkan dari bertanding pada PRU15 bertanding atas tiket PN .

Katanya, PN memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin berkenaan selepas mereka dicantas parti sendiri seterusnya membangkitkan gelombang PN di Perlis dan Pahang.

“Kita nak selesaikan masalah, kita ambil Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas nama PN di Perlis manakala Datuk Seri Ismail Abdul Mutatalib tanding di Pahang.

“Kita nak urus tempat lain tak mampu masa dekat sangat, kita dapati bila kita buat begini ada gelombang di dua negeri itu. InsyaAllah kita akan tawan Perlis dan Pahang dalam PRU15 ini.

“Kerajaan Pusat memerlukan sokongan seluruh rakyat kepada PN, jangan buat macam dulu undi Pakatan Harapan. Buah salak buah kedondong, bukan salah ibu mengandung tapi salah pangkah undi. Ini yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette