Keadaan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang beroperasi sepenuhnya kepada pengguna mulai hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kelana Jaya, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 14 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi hari ini dengan stabil.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, operasi keseluruhan sistem akan terus dipantau oleh pakar teknikal bagi memastikan kelancaran dan keselamatan semua pengguna.

“Setakat jam 4 petang, operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya adalah stabil.

“Terdapat gangguan sementara kepada sistem bukan kritikal keselamatan yang telah berlaku pada jam 12.43 tengahari tadi.

“Ia telah menjejaskan beberapa stesen di sekitar Stesen Damai, namun berjaya dipulihkan dalam masa 15 minit. Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang terjejas,” kata Rapid Rail menerusi satu kenyataan.

Syarikat itu menambah, sebagai langkah persediaan sebanyak 92 bas perantara percuma diaktifkan untuk pilihan alternatif dan kemudahan orang awam.

“Tinjauan di stesen-stesen utama di sekitar Kuala Lumpur ketika waktu puncak pagi menunjukkan pergerakan penumpang adalah lancar.

“Kesesakan penumpang di stesen- stesen telah berkurangan namun Polis Bantuan, pegawai-pegawai stesen dan juga kakitangan Prasarana masih memantau keadaan,” tambah kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Rapid Rail turut mengumumkan pelaksanaan pemberian pampasan kepada penumpang laluan berkenaan yang bermula hari ini.

Pembukaan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah bermula pada jam 6 pagi tadi selepas 16 stesen digantung selama lima hari pada minggu lepas akibat gangguan pada Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) di Pusat Kawalan Kenderaan (VCC).-MalaysiaGazette