Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR- Jumlah mangsa banjir di beberapa negeri merekodkan peningkatan malam ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, setakat jam 9 malam tadi jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat 2,124 orang daripada 713 keluarga berbanding 2,076 individu daripada 693 keluarga petang tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Pasir Mas.

Mengikut laporan  https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan bacaan melepasi paras amaran dengan 9.34 meter.

Sementara itu di Perak setakat 9 malam tadi, seramai 254 mangsa ditempatkan di enam PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian, Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Dewan Orang Ramai Kampung Piandang di Siputeh, Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang, Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dan Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

Jumlah mangsa banjir di SK Changkat Lobak merekodkan sedikit peningkatan kepada 34 individu berbanding hanya 10 orang pada petang tadi.

Turut mencatatkan pertambahan adalah empat mangsa di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

Namun, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang di daerah Larut Matang dan Selama pula menunjukkan trend penurunan apabila hanya menempatkan 12 individu daripada dua keluarga berbanding 40 mangsa sebelum ini.

Di Selangor pula laman sesawang InfoBencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir terus merekodkan penurunan kepada 126 orang daripada 36 keluarga berbanding 144 individu daripada 44 keluarga petang tadi.

Tiga PPS masih beroperasi berbanding enam pagi tadi iaitu di SK Sungai Sireh, Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai. MalaysiaGazette