Calon Barisan Nasional P.098 Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din (dua kiri) mendengar keluhan peniaga pasar ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Pagi Taman Greenwood, Gombak. Foto FAREEZ FADZIL, 13 November 2022.

GOMBAK – Jangan kata infrastruktur canggih, rumah sampah dan masalah perparitan pun tidak mampu diselesaikan oleh wakil rakyat Gombak walaupun isu ini telah dibangkitkan oleh peniaga pasar pagi di Taman Greenwood.

Ini belum lagi dengan lambakan peniaga asing yang bebas berniaga di kawasan itu.

Rata-rata peniaga yang ditemui kecewa kerana sudah tiga penggal Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tetapi isu-isu kecil ini pun tidak mampu ditangani.

Herman Maridus, 44, yang sudah berniaga hampir 20 tahun di pasar itu berkata, setiap kali ingin masuk ke tapak pasar dia perlu membersihkan rumah sampah yang berselerak hingga terpaksa mengangkat bangkai tikus yang sudah berulat sebelum mula berniaga.

Katanya, jika hujan lebat situasi lebih teruk dengan air sampah masuk ke kawasan tapak pasar serta bau yang meloyakan.

“Kita meniaga di pasar ini seminggu sekali, tapi isu sampah ini memang dah lama sangat sebab bukan orang sini saja buang , saya nampak banyak orang luar longgokkan sampah di sini juga.

“Saya ni berniaga ayam dan sayur, kalau dah sampai berulat dan ada bangkai tikus, susahlah kami nak cari rezeki dan pelanggan pun geli nak datang.

”Masa hujan pula, longkang belakang ini tersumbat sampaikan air melimpah dicampur dengan air sampah. Memang menyusahkan kami berniaga,” katanya pada pemberita.

Peniaga, Zuraiha Jusoh

Bagi Zuraiha Jusoh,50, yang berniaga kuih muih selama 10 di pasar itu berkata, sehingga kini masih tiada sebarang penyelesaian ditambah pula gerainya berhadapan dengan rumah sampah itu menyebabkan perniagaanya kurang laris kerana bau sampah.

Selain itu, katanya lambakan sampah buah kelapa yang tidak dikutip turut menyumbang kepada kekotoran persekitaran kawasan pasar pagi itu.

“Orang yang ambil sampah ini, mereka tak ambil sampah buah kelapa. Peniaga buah kelapa ini pula, mereka buang sampah waktu kita semua dah habis meniaga macam tengah malam. Kalau dapat tangkap memang salah sebab ada tempat khususnya.

“Bukan sewenang-wenangnya sampah kelapa boleh dibuang di sini, ada bayaran sebenarnya nak lupuskan sampah besar macam tu. Gerai saya betul-betul berhadapan rumah sampah ini, memang effect dengan bau dan permandanganlah.

“Kalau boleh kami minta pihak berwajib selenggara dengan baiklah rumah sampah ni, sediakan juga tempat yang strategik untuk sampah besar yang membolehkan peniaga buang bukan dilonggokkan satu tempat sampai ada ulat dan air sampah melimpah,” ujarnya.

Peniaga, Muhanmad Syukri Saamri.

Sementara itu, peniaga barangan basah, Muhammad Syukri Saamri, 52, berkata lambakan peniaga warga asing yang masuk ke pasar pagi itu secara ‘rambo’ dilihat membunuh rezeki peniaga tempatan.

Katanya, peniaga warga asing itu menjual barangan basah jauh lebih murah, sekali gus membuatkan pelanggan melabelkan peniaga tempatan menjual harga yang mahal dan pihak bekuasa tempatan (PBT) juga kurang membuat pemantauan di pasar pagi itu.

“Kita nampak lambakan peniaga Bangladesh jual ikan, ketam dan barangan basah ini tidak terkawal sejak tiga penggal, memang ketara sangat kehadiraan mereka. Saya nak dapatkan jualan RM1,000 sehari jual ikan pun susah walaupun meniaga dari jam 5 pagi.

“Mereka jual murah sangat tambah pula tidak perlu bayar lesen meniaga, kita ini peniaga tempatan kena bayar tapak, lesen meniaga lagi. Hari ini jualan saya hanya RM800 tak macam biasa. Kehadiran mereka ini memang membunuh peniaga tempatanlah.

“Saya harap pihak PBT atau kerajaan yang diberi mandat ambil tahu tentang masalah dan kebajikan peniaga ini, lama sangat berlarutan tapi tiada penyelesaian, jangan sekadar janji tapi apa pun tiada,” jelasnya.

Calon Barisan Nasional P.098 Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din melakukan walkabout di pasar pagi, dekat Taman Greenwood baru-baru ini.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, semua keluhan para peniaga yang didengarinya itu sudah lama berlarutan sejak 15 tahun lalu di bawah pemerintahan PH.

Katanya, perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan negeri dan sebagai anak jati Gombak ia perlu dilaksanakan segera kerana akan menjejaskan perniagaan peniaga di pasar pagi tu.

This is real bukan soal kita nak menyalahkan sesiapa sebab itu saya kata sepanjang 15 tahun mereka menjadi Ahli Parlimen, Menteri Besar dan ADUN walaupun mempunyai kuasa yang besar tetapi perkara yang begitu kecil masih tidak dapat selesaikan.

“Soal sampah, pada kita mungkin ia soal biasa tapi pada peniaga tidak, kerana menjejaskan perniagaan mereka. Lihatlah bagaimana peniaga ini menyatakan mereka perlu menanggung kerugian apabila tiada orang nk beli barang kat gerai dia sebab isu sampah.

“Acap kali kita sampaikan pada rakyat Gombak cuba lakukan perubahan dan insya Allah BN akan segera selesaikan masalah ini. Sudah tiga penggal kita beri peluang kepada PH untuk mentadbir tapi masih sama. Ini adalah priority saya sebagai anak jati di di sini,” katanya pada MalaysiaGazette.