BATU MAUNG – Hampir 6,000 nelayan Pulau Pinang berhasrat tidak akan mengundi pemimpin politik yang menyokong projek tambakan laut selatan (PSR) yang dirancang kerajaan negeri DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, 32 unit nelayan itu turut meminta parti yang bakal membentuk Kerajaan Persekutuan selepas 19 November ini membatalkan projek tersebut yang kini dalam proses rayuan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya mengambil maklum kesungguhan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang masih lagi ingin meneruskan projek PSR di kawasan Pulau Pinang Selatan walaupun keputusan EIA telahpun dibatalkan pada 8 september 2021.
Jelasnya, pendirian nelayan negeri ini adalah sama dan tidak berubah iaitu membantah secara keras projek ini kerana ia tidak langsung tidak memberi sebarang faedah kepada komuniti nelayan.
“Projek PSR ini akan merosakkan alam sekitar secara kekal, memberi kesan kepada sumber jaminan makanan (food security) selain merisikokan mata pencarian nelayan setempat termasuk nelayan di utara perak.
“Tidak ada sebarang faedah yang bakal diterima oleh komuniti nelayan dan penduduk setempat melalui perlaksanaan projek ini.
“Jadi kami nak nyatakan secara terus terang di sini, kami (nelayan) hanya akan mengundi pemimpin yang tidak menyokong projek PSR untuk memastikan kerajaan baru adalah pemimpin yang tidak menutup periuk nasi komuniti nelayan,” katanya pada sidang media di Pen Mutiara di sini, hari ini.
Menurut Timbalannya, Zakaria Ismail, berdasarkan data LKIM, sepanjang tahun lalu, nelayan mencatatkan tangkapan laut sebanyak 300 tan dengan nilai keseluruhan RM5 juta.
“Ini adalah hasil di lokasi mereka (pemaju dan kerajaan negeri) nak tambak laut itu, jadi bayangkan jika PSR diteruskan apa nasib kami?
“Golongan nelayan merupakan rakyat Pulau Pinang yang melaksanakan tanggungjawab dan kerajaan negeri sepatutnya menjaga kebajikan komuniti kami bukan layan seperti rakyat kelas kedua,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar pula, menggesa semua ahli bersatu hati dengan persatuan bagi memastikan projek ini tidak terlaksana.
“Buat masa ini lebih 300 nelayan menyatakan sokongan terhadap projek itu selepas dijanjikan pampasan wang tunai serta bot berkuasa tinggi namun mereka tidak fikir impak besar yang akan merugikan pendapatan komuniti nelayan secara menyeluruh.
“Ketegasan kita dalam memastikan projek ini terbatal kita juga mengambil tindakan terhadap ahli yang menyokong yang mana surat sokongan elaun sara hidup serta subsidi petrol tidak diberikan. Buat masa ini beberapa nelayan sudah dikenakan tindakan sedemikian dan kita tidak menolak kemungkin lebih ramai berdepan situasi sama jika masih kekal melanggar keputusan persatuan,” jelasnya.
Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.
Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang mana, ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion. – MalaysiaGazette