Calon Pakatan Harapan (PH) P.063 Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada ceramah mega bersama calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika di Taman Orkid, Sungai Siput, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2022.

SUNGAI SIPUT – Pakatan Harapan (PH) akan mengurangkan barisan jemaah menteri dan memotong gaji mereka sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wang yang dijimatkan itu boleh disalurkan untuk membela nasib masyarakat India dan Orang Asli yang lebih memerlukan.

“Kabinet yang ada sekarang akan saya kecilkan juga, gaji Menteri juga akan saya kurangkan kalau saya diberikan mandat oleh anda semua untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya sambil menambah beliau tidak akan mengambil gaji Perdana menteri kerana tidak memerlukannya.

Anwar yang merupakan Presiden PKR berkata demikian pada Ceramah Mega di sini, hari ini.

Menurut Anwar, beliau cuma mahu fokus meningkatkan ekonomi negara dan akan berusaha menarik pelaburan ke negara ini menerusi hubungan baik dengan India dan China.

Calon Pakatan Harapan (PH) P.063 Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada ceramah mega bersama calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika di Taman Orkid, Sungai Siput, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2022.

Sementara itu, beliau memberitahu, PRU15 bukannya mengenai beliau menjadi perdana Menteri ataupun calon PH, S Kesavan mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Siput.

Sebaliknya, beliau berkata, ia mengenai PH terus berjuang untuk rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette