Kamarul Zaman Mamat meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU- Lima individu ditahan polis kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Johor, sejak hari penamaan calon 5 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehingga semalam, pihaknya telah menerima 70 laporan polis dan 17 kertas siasatan dibuka.

“Kes paling banyak disiasat adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap bendera dan poster calon bertanding iaitu sebanyak sembilan kes,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, polis turut menahanĀ seorang lelaki yang didakwa membawa dua pucuk pistol di Batu Pahat, namun siasatan mendapati senjata api itu palsu dan mendapati individu tersebut kurang siuman.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 1,927 permit ceramah dikeluarkan kepada calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, lima permohonan ditolak setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk aspek keselamatan selepas penerangan diberikan kepada calon bertanding.

“Mereka memahami dan tiada sebarang isu berbangkit timbul,” ujarnya.

Dalam pada itu, Polis Johor telah menubuhkan 81 pasukan Op Cantas Khas melibatkan 81 pegawai dan 237 anggota untuk memantau kempen pilihan raya.

Menyentuh tentang undian awal, Kamarul Zaman berkata, seramai 727 pegawai dan anggota Polis Johor telah melaksanakan pengundian pos semalam.

Katanya, seramai 22,689 anggota polis, tentera dan pasangan mereak akan mengundi awal esok di 63 pusat mengundi dan 86 saluran esok. – MalaysiaGazette