repatriation mission malaysians New Delhi Mumbai India Covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam letipan di Jalan Istiklal Istanbul, yang setakat ini telah mengorbankan enam orang dan mencederakan 81 yang lain.

Dalam satu kenyataan, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye berkata, pihaknya kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam siasatan kejadian itu.

“Pada masa kenyataan ini dibuat, belum ada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu Konsulat Jeneral yakin pihak berkuasa akan bertanggungjawab membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.

“Konsulat Jeneral mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya peka dengan keadaan sekeliling dan mengelak daripada pergi ke tempat sesak di Istanbul buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi akaun Twitter.

Konsulat Jeneral Malaysia boleh dihubungi untuk sebarang kecemasan melalui nombor telefonnya; +90 2129891001/+90 5362896788/+90 5517112174/+90 55389879767 atau alamat e-mel, [email protected].

Konsulat Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka, dan berharap mereka yang cedera cepat sembuh.

Enam orang terbunuh dan 81 yang lain cedera ketika letupan menggegarkan laluan pejalan kaki yang sibuk di tengah-tengah Istanbul.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan serangan bom tersebut “berbau keganasan”.

Kejadian itu berlaku di Jalan Istiklal yang penuh sesak dan mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. – MalaysiaGazette