KUALA LUMPUR – Kira-kira 3.9 juta orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas (18.3%) menghidap diabetes di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Lebih membimbangkan lagi, menurut beliau, hampir separuh daripada pesakit diabetes tidak menyedari status penyakit mereka.

”Diabetes perlu dipandang serius bukan sahaja dalam kalangan individu tanpa diabetes, atau berisiko tinggi, tetapi juga melibatkan anggota kesihatan dan pembangun polisi.

”Pengesanan diabetes dan permulaan awal rawatan adalah amat penting dalam pengurusan diabetes dan seterusnya membantu mencegah komplikasi dan kematian pramatang,” katanya dalam kenyataan media sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022.

Ini kerana, semakin lama seseorang menghidap diabetes yang tidak didiagnosis dan dirawat, semakin tinggi risiko untuk mendapat komplikasi dan kematian pramatang.

Jelasnya, terdapat sasaran yang dipersetujui secara global untuk mengawal peningkatan diabetes menjelang 2025 namun diabetes masih menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan saban tahun.

Di peringkat global, dianggarkan seramai 537 juta orang dewasa yang berumur 20 hingga 79 tahun menghidap diabetes pada tahun 2021.

International Diabetes Federation menjangkakan jumlah ini akan mencecah seramai 643 juta orang menjelang tahun 2030, dan seramai 783 juta orang pesakit menjelang tahun 2045.

Oleh itu, Noor Hisham menasihatkan menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk mengambil berat tentang kesihatan masing-masing kerana kesihatan kita adalah milik dan tanggungjawab bersama.

”Kenali dan fahami faktor risiko, tanda dan gejala penyakit diabetes supaya pencegahan serta pengesanan dan rawatan awal dapat dilakukan,” tambah Noor Hisham.

Dalam pada itu, katanya, Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula dari Julai sehingga Disember 2022 bagi menggalakkan masyarakat menjalani saringan kesihatan.

Sehingga 13 November 2022, sejumlah 730,788 orang telah disaring dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 566,301 saringan telah dijalankan di fasiliti KKM.

Seramai 145,592 individu juga telah berjaya disaring melalui program PeKaB40, manakala 18,895 pekerja telah menjalani saringan di bawah program Health Screening Program (HSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast