Warga ATM sedang menunggu giliran untuk melaksanakan pengundian awal PRU15 di 2 RAMD Kem Sungai Ara, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 4,438 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan terlibat dalam proses pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang hari ini.

Kesemua mereka terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Komander Artileri Divisyen, Kolonel Mohd Tarmizi Basri berkata, secara keseluruhan sebanyak 5,014 warga ATM mengundi di negeri ini namun 576 daripada mereka didaftarkan sebagai pengundi pos susulan terlibat dalam pelbagai operasi termasuk misi di Lubnan.

Mohd Tarmizi.

Jelas beliau, sebanyak lapan pusat mengundi dibuka untuk membolehkan warga ATM serta pasangan melakukan proses pengundian awal membabitkan lima Parlimen di negeri ini.

Kata Mohd Tarmizi, secara umum persiapan di lokasi adalah mengikut seperti mana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Walaupun Pulau Pinang mempunyai 13 Parlimen namun proses pengundian warga ATM hanya membabitkan lima Parlimen saja.

“Iaitu Parlimen Bayan Baru, Bukit Gelugor, Tanjong, Bukit Bendera dan Tasek Gelugor.

“Alhamduillah, walaupun cuaca hujan kita dapat kumpulkan anggota sebanyak mungkin untuk menunaikan tugas serta tanggungjawab mereka buat negara,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Tinjauan MalaysiaGazette mendapati proses pengundian awal Rejimen Askar Melayu DiRaja (2 RAMD) di Kem Sungai Ara di sini berjalan lancar.

Beberapa anggota ATM dilihat mendukung anak-anak masing selain ditemani pasangan ketika hadir untuk pengundian awal PRU15 hari ini.

Warga ATM dlihat datang seawal 7 pagi bersama pasangan untuk menunaikan amanah selaku pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara.

Ia melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan keseluruhan 970 saluran. – MalaysiaGazette