Shafa’aton Abu Bakar (kiri) menunjukkan jari yang berdakwat selepas membuang undi bagi parlimen Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH – Seramai 531 anggota polis mengundi awal di Balai Polis Kg Baru Subang bagi Parlimen Sungai Buloh, hari ini 

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, sebanyak 40 peratus anggota yang telah menunaikan tanggungjawab antara 8 pagi hingga kini (10.30 pagi).

“Setakat ini tidak ada apa-apa masalah, proses pengundian awal pagi ini semua berjalan lancar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Beliau turut mengesahkan tidak ada anggota yang dijangkiti Covid-19 kali ini.

Sementara itu, Shafa’aton memberitahu, seramai 485 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan pada hari mengundi, 19 November ini.

“Kami juga mendapat bantuan daripada IPD Bukit Aman dan IPK Selangor untuk tugasan dari segala sudut pada hari ini. Demi memastikan proses mengundi akan berlangsung  dengan lancar,” jelasnya.

Parlimen Sungai Buloh mempunyai pemilih berdaftar seramai 158,090 orang.

Parlimen berkenaan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara Khairy Jamaluddin (Barisan Nasional)” Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan); Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional); Mohd Akmal Mohd Yusof (Parti Pejuang Tanah Air) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia), Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff (Bebas) dan Nurhaslinda Basri (Bebas).

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen bermula, tidak ada laporan polis diterimanya oleh mana-mana calon.

Shafa’aton menyifatkan proses berkempen di Sungai Buloh kali ini harmoni meskipun kerusi itu kini menjadi antara tumpuan pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15). MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast