Norhidayah bersama suaminya, Sarjan Faizal menunjukkan jari mereka sebaik selesai melaksanakan proses undian awal di 2 RAMD Kem Sungai Ara, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Teruja sangat rasa seolah-olah baru pertama kali nak mengundi sebab ini merupakan kali pertama saya ditemani suami dan anak-anak untuk ke pusat mengundi,”.

Demikian kata Norhidayah Ramli, 37, pasangan kepada Sarjan Faizal Razali, 38, sebaik selesai melaksanakan proses pengundian awal di Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) di Kem Sungai Ara di sini, hari ini.

Menurut Norhidayah, meskipun ini merupakan kali ketiga dia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi namun keadaan suasananya berbeza menyebabkan dia terasa seperti pengundi baharu.

Norhidayah Ramli

“Selama ini saya mengundi di kampung halaman di Baling, Kedah manakala suami pula mengundi di beberapa kem termasuk Sarawak, Melaka susulan bertugas di sana.

“Walaupun masing-masing kami asal dari Kedah namun ini merupakan kali pertama kami mengundi sekali.

“Bukan saja kami teruja, malah anak-anak juga dikejutkan seawal jam 6 pagi untuk memastikan kami tidak lewat ke pusat pengundi bagi menunaikan amanah memilih pemerintah negara,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Turut berkongsi pengalaman pertama,  Lans Koperal S. Kisukgan berkata, keterujaan untuk mengundi buat kali pertama membuatkan dirinya gementar sehingga memerlukan rakan sepasukan untuk menenangkannya.

Kisukgan.

“Ini kali pertama saya mengundi, nak pulak mengundi dalam kem jadi macam-macam perasaan bercampur dalam diri ini sampai selesai tanda undi baru tangan saya berhenti mengeletar.

“Tapi apa pun ini satu pengalaman yang seronok bagi saya tambahan pula telah selesai lakukan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bagi Leftenan Kolonel Abdul Halim Ishak pula, dalam tempoh 28 tahun perkhidmatannya, beliau telah melaksanakan proses pengundian awal di empat negeri berbeza termasuk di Pulau Pinang hari ini.

“Dulu saya undi pos susulan bertugas di sempadan dan suasana pengundian l itu berbeza kerana kita rasa terasing berbanding proses undian awal sebegini.

Abdul Halim.

“Berdasarkan pengalaman saya sudah mengundi di Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan sebelum ini dan suasana undi awal ini memang seronok sebab warga tentera lebih suka tunaikan tanggungjawab secepat mungkin.

“Selain itu, saya juga dapat lihat suasana atau gelagat warga ATM dengan pasangan masing-masing di empat lokasi berbeza dalam tempoh perkhidmatan ini membuatkan ia menjadi salah satu kenangan juga,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seramai 4,438 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan terlibat dalam proses pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang hari ini.

Kesemua mereka terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – MalaysiaGazette