Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd telah melancarkan Bursa Fund Platform (Platform Dana Bursa), alat maklumat dana interaktif untuk menyediakan maklumat komprehensif pelaburan awam mengenai unit amanah dan dana borong bagi membantu pelabur membuat keputusan pelaburan yang termaklum.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift berkata, platform baharu itu adalah sebahagian daripada strategi bursa untuk mempunyai penawaran produk yang pelbagai bagi menyediakan pilihan pelaburan untuk orang ramai yang melabur serta melengkapkan aspirasinya menjadi destinasi pelaburan pilihan.

“Platform ini akan melengkapkan pasaran pelaburan semasa kerana ramai pelabur mempunyai pelaburan dalam kedua-dua pasaran tersenarai dan tidak tersenarai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Platform baharu ini menawarkan pengalaman mesra pengguna yang mentakrifkan semula perjalanan pelaburan dana. Ia menawarkan ciri-ciri seperti perbandingan dana yang pantas dan mudah serta penciptaan senarai pantau (watchlist) untuk pengguna menjejak dan memantau dana yang memenuhi keperluan pelaburan dan selera risiko mereka.

Selain itu, platform ini membolehkan pengguna berkomunikasi secara langsung dengan pengurus dana yang mengambil bahagian sekiranya mereka ingin mula melabur dalam dana atau untuk mendapatkan lebih perkhidmatan secara peribadi. – BERNAMA