MELAKA – Tindakan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang merendah-rendahkan petugas media yang dikatakan tidak tahu berbahasa Inggeris di hadapan pelabur asing disifatkan satu penghinaan.
Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat berkata, perkara itu tidak sepatutnya dilontarkan seorang Exco kerajaan negeri.
Tambahan pula, petugas media selama ini turut berperanan membantu kerajaan negeri menaikkan industri pelancong dan pelabur ke Melaka
“Kenyataan ‘Because they are having a communication problem a bit. Because they can’t speak English fluently. They can understand but they cannot converse’ dilihat merendah-rendahkan kemampuan media.
“Apatah lagi, kata-kata itu dilontarkan Jailani di hadapan pelabur asing (Korea) pada sidang media terbuka kononnya kumpulan petugas media tidak bertanyakan soalan lanjut kerana tidak boleh berbahasa Inggeris adalah satu penghinaan kepada media.
“Pendika begitu kesal kerana kehadiran media pada program berkenaan adalah bagi menguar-uarkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amir berkata, Pendika sentiasa mengutamakan aduan dan kebajikan ahli khususnya berkaitan isu yang dilihat tidak adil kepada ahli kelab terdiri daripada pengamal media portal dan arus perdana di seluruh negara.
“Pendika berharap tindakan seumpama itu tidak berulang lagi pada masa akan datang sekali gus bagi menjaga peranan media dalam memastikan hubungan baik antara petugas media dan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette.