Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal gabungan politik dengan mana-mana pihak selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hanyalah pilihan sedia ada dan telah banyak kali diulas pelbagai pihak.

Katanya, rakyat dan penjawat awam telah serik dengan pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lalu.

Manakala Barisan Nasional pula masih dibelenggu dengan isu-isu membabitkan beberapa pemimpinnya termasuk melibatkan kes mahkamah.

“Bagi PN, kami akan terus meningkatkan usaha supaya boleh membentuk kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas mengenai laporan mengatakan Takiyuddin mendedahkan Pas sedia berunding dengan BN untuk membentuk kerajaan sekiranya tiada parti yang mendapat bilangan kerusi yang cukup bagi membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam satu kenyataan ringkas hari ini mengatakan, kenyataan beliau mengenai kerjasama BN-Pas pasca PRU15 telah disalah tafsir.

Pemimpin-pemimpin Pas juga mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu hanya mengeluarkan pendapat peribadi berhubung perkara terbabit.

Tuan Ibrahim turut berkata Pas percaya PN akan berjaya membentuk kerajaan selepas 19 November ini.

Ia bersandarkan kepada sokongan kepada PN yang semakin meningkat dan mood perubahan yang ditunjukkan rakyat sehingga kini. – MalaysiaGazette