Lori simen yang terbalik selepas hilang kawalan atas jalan mengejutkan penunggang motosikal yang terselamat dengan luka ringan dalam kejadian semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki terkejut selepas sebuah lori simen yang datang dari laluan bertentangan secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas di hadapan motosikal yang ditungganginya dalam kemalangan semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di Persiaran Pulau Lumut, Shah Alam, pada jam 11.17 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa lori yang membawa muatan simen sedang bergerak masuk susur sebelah kiri dari arah Persiaran Mokhtar Dahari.

“Tiba-tiba kenderaan berat itu telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan disebabkan keadaan jalan susur yang sedikit curam,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, ketika itu penunggang motosikal sedang bergerak lurus dari arah bertentangan sebelum terkejut melihat lori simen itu yang terbabas lalu terlanggar  belakang lori simen yang sudah terbalik itu.

Kedua-dua mangsa yang terlibat kemalangan terselamat dan hanya mengalami luka di bahagian anggota badan serta telah menerima rawatan di hospital terdekat .

Kes berkenaan sedang disiasat oleh polis di bawah Rule 10 LN 166/59,” katanya.

Polis meminta kerjasama mana-mana individu atau saksi yang melihat kejadian berkenaan digesa agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Riduwan Hamidi di talian 011 26928229 untuk membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette