Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kecewa apabila beberapa Menteri di dalam Kabinetnya disingkirkan daripada senarai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, keputusan parti yang menyingkirkan nama-nama besar itu yang berpotensi mempertahankan kubu kuat UMNO hanya akan memberi kesan kepada keputusan pada 19 November ini.

“Saya sendiri memang rasa kecewa bila rakan-rakan saya terutamanya Menteri saya dalam Kabinet tidak dapat bertanding.

“Jadi ia boleh menjejaskan keputusan PRU15 nanti,” katanya pada sidang media di Puncak Alam Driving Range, Bandar Puncak Alam, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mereka yang disingkirkan itu bagaimanapun tidak mengambil bertindak bertentangan dengan parti dan kembali memenangkan BN.

“Bagaimanapun kami berjiwa besar dan meletakkan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri.

“Memang betul pada awal mereka kecewa tetapi akhirnya mereka kembali perjuangan untuk memenangkan BN,” jelasnya.

Ismail yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan tiga tokoh yang gagal bertanding semula itu merupakan calon boleh menang di kawasan masing-masing.

“Saya percaya calon boleh memang, saya percaya Tan Sri Noh Omar, nama besar ini bila bertanding di Tanjong Karang pasti menang.

“Dari segi ramalan, kawasan dia adalah putih, memang boleh menang, Tan Sri Annuar Musa calon boleh menang di Ketereh.

“Datuk Seri Salleh di Jempol dan beberapa nama lagi yang besar yang tidak dicalonkan memang boleh menang,” katanya lagi.

Pada 3 November lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang di Selangor dan Jempol di Negeri Sembilan.

Selain itu, BN juga menamakan dua calon langsung daripada Pas dan bekas pemimpin Pas, masing-masing Datuk Che Abdullah Mat Nawi di kerusi Parlimen Tumpat dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast