Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih 80,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam penugasan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diharap dapat mengekalkan tahap profesionalisme tinggi, mampu mengawal emosi dan sentiasa berhemah apabila berhadapan dengan sebarang bentuk provokasi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata petugas PDRM juga diminta mengelakkan diri daripada terlibat dengan situasi yang boleh mengakibatkan ketegangan dan mewujudkan implikasi yang mampu mencalarkan kredibiliti pasukan.

“Sebagai agensi penguatkuasaan utama negara, PDRM akan terus kekal komited dalam mempertahankan keselamatan negara dan ketenteraman awam dalam setiap situasi selari dalam kehendak Akta Polis 1967.

“Pasakkanlah nawaitu (niat) dan tanamkanlah tekad yang kuat untuk menjalankan amanah ini dengan penuh integriti, ikhlas dan sabar,” katanya.

Acryl Sani berkata demikian dalam Ucapan Khas Ketua Polis Negara Untuk Semua Petugas PDRM sempena PRU15 di laman rasmi Facebook PDRM malam ini.

“Semoga setiap pengorbanan yang kita curahkan, dengan penuh rasa kecintaan dan keikhlasan di jalan jihad ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada-Nya jua,” katanya.

Beliau juga turut mendoakan agar semua petugas PDRM, sentiasa dilindungi Allah serta dijauhkan daripada sebarang malapetaka.

“Saya melahirkan rasa bangga kepada semua warga polis terlibat dalam secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran proses PRU15 yang sedang dihadapi ketika ini.

Kepada semua warga PDRM, yang bertugas di lapangan untuk memastikan kelancaran proses PRU15, saya percaya dan yakin, kalian akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata komitmen penuh daripada mereka yang akan terlibat sebagai pasukan bantuan di bahagian kontinjen di setiap negeri akan meningkatkan keupayaan jentera PDRM dalam memastikan keseluruhan proses PRU15 akan berlangsung dalam situasi yang selamat dan tenteram.

“Saya berharap semua warga PDRM telah pun melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan (termasuk latihan-latihan yang telah dilaksanakan lebih awal), mengenai penugasan kelak.

Oleh yang demikian, ini merupakan peluang untuk anda semua mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dan seterusnya belajar daripada pengalaman,” katanya.

— BERNAMA