Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) boleh membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini sekiranya berjaya mendapat sokongan sehingga 80 peratus pengundi Melayu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ia berlaku, gabungan parti itu mampu memenangi sekurang-kurangnya 114 daripada 171 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

“Kalau menang 114 atau 115 kerusi pada malam 19 November itu, Pengerusi SPR akan menghubungi saya…kalau beliau kata “PN sudah cukup 120 kerusi, sekarang Tan Sri boleh tubuhkan kerajaan”…Alhamdulillah, itu yang saya tunggu.

“Kalau tidak capai, saya hendak buat macam mana, bukan hal saya, tetapi hal dan nasib saudara (pengundi). Kalau jatuh pada Pakatan Harapan (PH) apa jadi (dan) kalau jatuh pada Barisan Nasional (BN) apa jadi.

“Jadi saudara ada kewajipan dan tanggungjawab untuk selamatkan negara, jangan jatuh kepada puak yang tidak amanah dan bertanggungjawab ini.

“Kaum Melayu menjadi teras dalam negara dan kalau hari ini saya katakan sebahagian besar orang Melayu menyokong PN dan saya nak tentukan pada tempoh mendatang, sekurang-kurangnya 80 peratus Melayu sokong PN dan kita boleh membentuk kerajaan,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional, yang juga calon Perikatan Nasional P.143 Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Program Ceramah Jelajah Perikatan Naisonal (PN) Best di Padang AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 NOVEMBER 2022.

Beliau berkata demikian Jelajah PN Best di Keramat di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata PN akan mengeluarkan kad laporan secara tahunan bagi menilai tahap pencapaian manifesto gabungan itu sekiranya diberikan mandat oleh rakyat membentuk kerajaan.

Beliau berkata, prestasi secara tahunan itu juga akan dipantau jawatankuasa khas pelaksana tawaran yang dianggotai pakar dalam bidang seperti ekonomi dan pendidikan.

“Ini menunjukkan kesungguhan PN untuk mentadbir negara seperti yang dijanjikan.

“PN ada keupayaan untuk membentuk kerajaan yang berkemampuan yang kita mahukan. Bukan sahaja berkemampuan, namun juga bersih berbanding BN dan PH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast