Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail . Foto HAZROL ZAINAL

BERA – Terpulang kepada Perikatan Nasional (PN) menjangka awal kemenangan mereka di Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau pun boleh berbuat demikian sekiranya mahu.

Dia (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) boleh cakap apa sahaja.
Saya pun boleh cakap, contohnya BN boleh dapat semua 42 kerusi DUN.

“Tapi memadailah saya hanya kata, insya-Allah, BN pasti menang dengan majoriti tinggi di Pahang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Durian Tawar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin mengenai PN Pahang melihat peluang untuk memenangi dua kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pusingan pertama berkempen berlangsung.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang melihat jentera Bn semakin bersemangat dalam baki empat hari berkempen.

“Alhamdulilah, jentera parti semakin bersemangat dan saya yakin kerana pendekatan kita di Pahang berasaskan realiti dan track record.

“Ia sesuatu yang rakyat Pahang dapat lihat sendiri,” katanya.

Mengenai calon muka baharu BN di Pahang, Wan Rosdy berkata, ia tidak ada masalah kerana rata-rata mereka ada jawatan dalam parti dan bukan calon payung terjun.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PN optimis menang 2 Parlimen, 16 DUN di Pahang