Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Sebanyak 11.14 peratus pasukan polis dan tentera bersama pasangan sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi setakat pukul 10 pagi ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pahang, Datuk Zambree berkata, jumlah itu membabitkan 2,358 daripada 21,262 pengundi awal di negeri ini.

Sebanyak 50 Pusat Mengundi Awal melibatkan kemudahan polis dan tentera membabitkan 70 saluran di negeri ini dipantau oleh seramai 417 petugas SPR.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berpuas berhati selepas membuat tinjauan dan lawatan proses pengundian awal.

Beliau berkata, perjalanan pengundian awal berjalan lancar.

Terdahulu beliau membuat tinjauan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang.

“Seramai 1096 dari Pasukan Polis Gerakan Am di Dewan Tan Sri Mansor di Kem PGA Galing menunaikan tanggunggjawab sebagai pengundi awal.

“Manakala 807 anggota TLDM turun membuang undi awal pagi ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tinjauan di Kompleks PDRM Alor Akar pagi ini mendapati proses undi awal bermula pukul 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf turut membuang undi bersama pasukan anggota keselamatan.

Difahamkan, seramai 1,560 anggota PDRM menunaikan tanggunggjawab sebagai pengundi awal di Dewan Badminton Polis Pahang.

Daripada jumlah pengundi awal di negeri ini, seramai 6,136 adalah anggota polis manakala tentera dan pasangan pula membabitkan 15,026 orang. – MalaysiaGazette