Mubarak bersama Nizar ketika membantu kempen BN di Parlimen Parit baru-baru ini.

PARIT – Kempen Pilihan Raya ke-15 (PRU15) di Parlimen Parit dimeriahkan dengan kehadiran pelakon veteran drama dan filem, Mubarak Majid dan Amran Nasaruddin yang turun padang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Mubarak yang juga pelakon filem Mat Kilau dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress terbitan Buffalo Orange Pictures Sdn Bhd di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) 2022 yang diadakan di India turun menyantuni penduduk sekitar Parit.

Mubarak (kiri) dan Amran.

Menurut Mubarak, 66, yang telah berkecimpung lebih empat dekad dalam dunia seni, beliau bersama-sama dengan Amran Nasaruddin seorang lagi pelakon drama hebat melakukan walkabout di sekitar Kampung Senin, Layang Kanan, Kampung Nasaruddin, Kampung Kuchai dan pekan Parit.

Beliau juga sempat singgah di majlis ramah mesra makan tengah hari bersama Hari Keluarga Kampung Senin sambil melihat calon BN Parit dan calon BN Belanja bermain sukan rakyat.

Mubarak berkata, beliau berharap penduduk sekitar DUN Belanja, DUN Bota yang termasuk di Parlimen Parit menyokong jentera dan ketiga-tiga calon BN demi melihat perubahan dan kemakmuran menerusi sebuah kerajaan yang stabil.

“Saya yakin sumbangan kerusi yang mutlak boleh diperoleh di sini (Parlimen Parit).

“Cukuplah zaman kesengsaraan tempoh hari (22 bulan) dan berharap ia tidak berulang lagi,” kata Mubarak lagi,” katanya.

Pandangan yang sama turut dikongsi Amran yang antara drama dan telefilem yang beliau berlakon ialah Arbaie Bujang Kembali juga berharap pengundi sekarang semakin bijak menilai calon dan parti mana yang layak menerajui kerajaan baharu ini.

“Jangan ingat pengundi boleh diperbodohkan kerana pengundi sekarang mahukan calon yang boleh buat kerja, parti yang boleh buat kerja. Bukan berjanji tidak tentu arah.

“Saya sayangkan negara ini dan sudah tentu mengharapkan BN boleh kembali memerintah dengan jayanya. Insya-Allah,” kata Amran.

Dalam PRU-14 lalu, Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast