Penyandang Kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berucap pada Ceramah Perdana PRU-15 'Jangan Tertipu Lagi' sempena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika di Dewan Terbuka Arena Mior Aris, Lubok Merbau, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2022.

KUALA KANGSAR – Tidak dapat diragui lagi bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon perdana menteri terbaik yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) jika parti itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat tiga faktor Ismail Sabri adalah calon terbaik berbanding beberapa calon yang ditawarkan oleh pihak-pihak yang bertanding.

“Pertama Datuk Seri Ismail Sabri sudah ada pengalaman menjadi menteri untuk pelbagai portfolio.

“Kedua beliau adalah pemangku perdana menteri dan penjaga jawatan itu sekarang yang telah menunjukan rekod tidak boleh dipertikaikan.

“Ketiga Datuk Seri Ismail Sabri diterima bukan sahaja oleh UMNO dan Barisan Nasional. Sejarah menyatakan malah pembangkang dan parti-parti lain boleh menerima beliau sebagai perdana menteri,” kata Annuar.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘PRU 15 jangan tertipu lagi’ di Parlimen Padang Rengas malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang merupakan penyandang kerusi parlimen itu.

Menurut Annuar, beliau yakin Ismail Sabri akan memimpin semula kerajaan dengan sokongan penuh oleh ahli-ahli Parlimen bukan sahaja daripada BN tetapi juga oleh pelbagai parti.

Sementara itu Annuar sependapat dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pelantikan perdana menteri bahawa adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktuh dalam Perlembahaan.

“Pertama seseorang yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen tak kira parti apa.

“Kedua dia mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di mana satu daripada tiga perkara yang menjadi hak mutlak baginda adalah untuk memperkenankan nama seorang perdana menteri.

“Yang di-Pertuan Agong kita sangat berpengalaman sudah tentu dua-dua perkara itu akan berjalan serentak iaitu baginda akan melantik seseorang yang pada baginda mendapat sokongan majoriti,” kata Annuar.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaan untuk menentukan perdana menteri sekiranya BN menang pilihan raya pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette