Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pas adalah sebuah parti yang besar dan perlu lebih dominan dalam Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, Pas seharusnya mempunyai suara serta pandangan sendiri dan ia perlu diterima oleh komponen lain dalam PN.

“Saya difahamkan Presiden Bersatu tidak puas hati dengan kenyataan yang dibuat oleh Takiyuddin.

“Pas ini sebuah parti yang besar dan wujud lebih awal daripada Bersatu.

“Patutnya Pas lebih dominan dan mempunyai kuasa sendiri termasuk kuasa untuk bersuara.

“Tetapi nampak gayanya setiap kali Pas bersuara, mereka sentiasa dikritik Pengerusi PN.

“Jadi saya percaya kalau itulah caranya elok Pas fikir untuk bergabung dengan parti lain,” katanya ketika turun berkempen di Parlimen Titiwangsa, malam tadi.

Hadir sama adalah calon BN kawasan tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ismail Sabri berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengatakan parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Takiyuddin berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan selepas PRU-15 hasil gabungan dengan parti lain, terutamanya BN.

Bagaimanapun, Takiyuddin menafikan laporan tersebut sambil menegaskan, kenyataannya itu dilaporkan di luar konteks dan pada masa yang sama, tajuk yang digunakan mengelirukan pengundi.

Malah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang desas-desus berhubung kemungkinan berlaku rundingan antara BN dan Pas selepas PRU-15 adalah di luar pengetahuannya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengulangi bahawa segala keputusan untuk membentuk kerjasama perlu dibuat dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Selepas keputusan dibuat kalau ada cadangan gabungan kita akan bawa di dalam MKT UMNO.

“Seperti yang saya katakan gabungan dengan parti apa pun, mesti diputuskan oleh MKT UMNO,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa ada perancangan kerjasama antara BN dan PN, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan.

“Tidak ada (perbincangan kerjasama PN-BN). Kita tidak pernah bincang mengenai perkara ini,” jelas Ismail Sabri lagi.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata pemimpin BN dan PN memulakan rundingan untuk bekerjasama membentuk kerajaan selepas PRU15.

Dakwanya, tindakan itu dimulakan selepas masing-masing ketinggalan dalam persaingan, beberapa hari lagi menjelang hari mengundi Sabtu ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. pas ni suruh jadi imam solat je boleh . bawa tahlil pun boleh . kalau nak suruh memerintah . lingkup lah jawabnya. dengan arul kanda pun dah puas hati kena klintong. macam mana nak bangun ekonomi negara yang mencabar ini. pn gabung bn lagi teruk . patutnya bila gabung dua kuasa lagi pickup. tapi dah terbalik . tak tahu lah kalau rakyat mudah kena tipu . pn ni lemah sebenar nya . bn penipu . pilih lah yang mana satu .

Comments are closed.