Kawasan MARA Mini Halal Hub yang dibangunkan di Taman Perindustrian Seri Sulong di sini.

PARIT SULONG – Penduduk Parit Sulong menyambut baik usaha Datuk Seri Noraini Ahmad membina MARA Mini Halal Hub di kawasan Parlimen itu.

Rata-rata penduduk yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, pembinaan MARA Mini Halal Hub penting kepada penduduk di sini terutamanya orang Islam bagi mendapatkan produk halal khususnya sembelihan.

Seorang penduduk, Salamiah Agus, 47, berkata, dia sangat gembira dengan usaha dilakukan oleh Noraini yang mementingkan perkara-perkara berkaitan halal.

Menurutnya, sebagai Muslim, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memelihara diri daripada menggunakan apa sahaja bentuk barang-barang yang diyakini halal khususnya makanan.

Salamiah Agus

“Memang bagus halal hub dibuka di sini sebab peniaga boleh mendapatkan barang yang betul-betul halal sebelum menjualnya kepada pengguna.

“Pengguna pula tidak perlu ragu-ragu kerana mereka yakin pasti semua barang yang masuk dan dijual sememangnya halal ,” katanya yang merupakan seorang peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Roslan Ahmad Tajudin, 34, pula berterima kasih kepada calon Barisan Nasional (BN) Parit Sulong itu kerana membina hub halal di sini.

Katanya, hub halal itu memberi kesenangan kepada penduduk untuk mendapatkan produk-produk yang dijamin halal, bersih dan tidak tercemar dengan benda-benda yang meragukan.

Katanya, ketika ini terlalu banyak barang-barang makanan di pasaran yang kurang diyakini statusnya dijual.

Meskipun menggunakan logo halal, Roslan berkata, dia kadang kala masih was-was kerana terdapat kes penipuan logo halal  seperti yang pernah dilaporkan pihak media sebelum ini.

Roslan Ahmad Tajudin

“Memang baguslah mini hub halal ini sebab ia boleh memberi kebaikan kepada semua khususnya golongan berusia.

“Mereka tidak lagi perlu bimbang atau was-was untuk mendapatkan barang keperluan harian dan semua itu boleh didapati di pusat tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Siti Hassuah Adnan, 52, pula berpandangan, mini halal hub itu sangat penting untuk diwujudkan kerana ia menjadi satu platform kepada peniaga untuk mengumpul, memprosessan dan memasarkan produj-produk yang dihasilkan oleh industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, semua pengusaha IKS dapat dikumpulkan dalam satu tempat dan ia sangat memudahkan pengguna untuk mendapatkan barang-barang keperluan halal tanpa perlu bergerak ke tempat-tempat lain.

Siti Hassuah Adnan

“Bagi saya memang baguslah usaha menyediakan mini halal hub ini…senang untuk peniaga dan lebih penting adalah kepada pengguna untuk mendapatkan barang halal di satu lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast