Calon BN Parlimen Gerik, Dr Asyraf beramah mesra dengan pengundi Cina di Gerik, Perak malam tadi.

GERIK- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yakin masyarakat Cina mula beralih sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Asyraf berkata, terdapat perubahan ketara yang condong kepada BN daripada kaum itu berikutan penerimaan masyarakat China Gerik terhadap beliau ketika berkempen

“Saya nampak perubahan cukup ketara, ramai dalam kalangan pengundi Cina mengalu-alukan saya, bercakap dan mengadu dengan saya masalah-masalah serta isu tempatan di hadapi mereka.

“Calon DUN Temengor, Puan Salbiah (Mohamed) beritahu saya banyak perubahan dalam kalangan pengundi Cina ini. Berbeza dengan PRU-14, jika turun kawasan pengundi Cina enggan layan,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO kepada MalaysiaGazette selepas menyantuni penduduk Gerik.

Menurut Asyraf, penerimaan itu mungkin disebabkan pendekatan BN dalam mendekati masyarakat seperti melakukan lawatan rumah ke rumah dan kempen secara bersemuka membabitkan perbincangan tentang isu-isu yang gtimbul.

Tambah beliau, BN lebih gemar mendekati pengundi, masyarakat dan bercakap dengan mereka, hati ke hati.

“Cara itu menyebabkan rata-rata mereka memahami kesungguhan kita dalam membela nasib dan keperluan mereka,” ujarnya.

Parlimen Gerik menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Asyraf, Fathul Huzir Ayob (Perikatan Nasional) dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam (Pakatan Harapan). – MalaysiaGazette