Dr. Jakaria Dasan

KUALA LUMPUR – Penggunaan media sosial sebagai medium kempen mampu memberikan kesan positif kepada parti atau calon yang bertanding dalam menyampaikan manifesto dengan lebih cepat dan efektif.

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jakaria Dasan berkata, dalam konteks ini, kesan positifnya sekiranya media sosial digunakan untuk tujuan kempen calon.

Malah, calon yang menggunakan fakta mungkin akan meraih undi yang lebih baik daripada calon yang mengemukakan pandangan.

“Cuma isunya di sini ialah, wujud trend dalam kalangan pengundi yang melihat kepada populariti yang mana orang yang pandai berkata-kata itu biasanya mendapat undian yang lebih baik daripada mereka yang kurang penyampaian ucapan dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kursus Komunikasi Korporat, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS menambah, dengan kewujudan pengundi  berumur 18 tahun ke atas, media sosial mampu memberi kesan positif sekiranya calon memperbanyakkan fakta dalam hujah yang dilontarkan.

“Selain daripada itu juga, penggunaan media sosial mungkin boleh memberi kesan yang tidak baik sama ada kepada calon itu sendiri atau masyarakat pendengar.

“Sebagai contoh kepada calon mungkin akan melebihi sempadan norma budaya masyarakat kita, saya merujuk kepada santun dan budaya, yang mana mungkin akan berlaku perlanggaran etika dalam menyampaikan pandangan. Walaupun ianya belum berlaku, tetapi kita risau keadaan ini akan terjadi.

“Kepada masyarakat pula, apabila mereka mempunyai kebebasan untuk memberi pandangan balas, mereka akan menulis teks balasan yang kadang-kadang terkeluar daripada sempadan norma kehidupan masyarakat.

“Akhirnya apabila umum membaca paparan-paparan sedemikian, ianya akan memberi kesan sosial kepada masyarakat secara keseluruhannya,” ujar beliau. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast