KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akur kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak menyediakan laluan khas kepada bagi pesakit Covid-19 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerianya dengan pihak berkaitan melalui pelbagai peringkat perbincangan.
“Kita tidak boleh ada lorong khas untuk pesakit positif Covid-19.
“KKM dan SPR telah mendapatkan pilihan terbaik dengan mengambil kira kekangan sumber, ruang dan tenaga kerja.
“Manakala prosedur operasi standard (SOP) adalah apa yang telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah),” katanya kepada pemberita di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kegelisahan pengundi yang terpaksa membuang undi bersama mereka yang dijangkiti virus itu pada Sabtu ini.
Sebelum ini, KKM telah menggariskan langkah-langkah untuk pesakit Covid-19 mengundi, namun tidak disebut mengenai aliran segera, lorong atau zon mengundi di dalam pusat daerah mengundi (PDM).
Keperluan yang digariskan termasuk mewajib pemakaian pelitup muka kepada pengundi yang dijangkiti Covid-19 apabila membuang undi di pusat mengundi.
KKM juga menggesa pengundi lain supaya memakai pelitup muka ketika berada di pusat mengundi dan di kawasan sesak.
Pengundi positif Covid-19 tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing untuk keluar mengundi.
Pengundi ini juga mesti pulang terus ke rumah untuk meneruskan kuarantin mereka selepas membuang undi. – MalaysiaGazette