SABAK BERNAM – Barisan Nasional (BN) tidak pernah memandang rendah terhadap mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon BN Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, walaupun tempoh berkempen kini kurang 48 jam lagi, namun beliau tidak akan menyerang calon secara peribadi untuk meraih sokongan pengundi.
“Saya mengalu-alukan sistem demokrasi, siapa hendak bertanding boleh bertanding, masing-masing merasakan ada peluang.
“Saya tidak memandang itu semua, saya bekerja untuk BN. Jadi kita tak perlu usik calon itu sama ada berkaliber atau tidak.
“Bagi saya semua yang bertanding itu berkaliber, rezeki masing-masing dan kita berharap kepada pengundi-pengundi untuk menentukan mana yang terbaik pilihan mereka nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Abd Rahman berdepan saingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menentang Kalam Sahlan (PN), Shamsul Ma’arif Ismail (PH) dan Datuk Seri Eizlan Yusof (GTA).
Pada PRU14 lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh yang mewakili BN namun bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu.
Dalam pada itu, beliau meletakkan keyakinan kepada pengundi muda yang pertama kali akan menggerakkan gelombang perubahan kepada BN pada 19 November ini.
“Baru-baru ini kita ada terima 40 ahli dalam kalangan orang muda daripada Bersatu.
“Dua malam lepas di PDM Bagan Nakhoda Omar kita menerima 40-45 ahli anak-anak muda yang dulunya menyokong PKR dan kini menyerahkan borang kepada UMNO.
“Saya nampak gelombang anak-anak muda ini memang ada untuk menyokong BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette