penganalisis
Khairy Jamaluddin

SUNGAI BULOH – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai tidak takut untuk keluar mengundi pada Sabtu ini, kerana situasi jangkitan Covid19 dalam negara terkawal.

Katanya, beliau berani memberi jaminan tersebut selepas mendapat pandangan daripada pihak pakar kawalan penyakit berjangkit.

Menurut beliau, jangkitan wabak Covid-19 kini menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding dua minggu yang lalu.

“Dua minggu lalu saya keluarkan nasihat berkaitan dengan gelombang Covid-19 baharu yang melanda negara, syukurlah dengan sokongan daripada rakyat yang mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) kita lihat pada minggu lalu kes baharu menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Saya juga sudah bertanyakan kepada Timbalan Ketua Pengarah KKM serta pakar daripada bahagian penyakit berjangkit bagaimana dengan kemasukan pesakit Covid- 19 di hospital, tiada peningkatan dilaporkan dan jumlahnya kini dilihat mula turun.

“Dengan itu saya yakin bahawa situasi Covid-19 dan gelombang kecil ini dalam keadaan terkawal.

“Jadi kita nasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan berhati-hati terutamanya pada hujung minggu ini kerana akan adanya ceramah, kempen serta hari pengundian yang akan berlakunya kesesakan.

“Selamat untuk keluar mengundi, saya dah minta pandangan pakar dan mereka menyatakan gelombang kini terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media status terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata pengundi yang disahkan positif Covid-19 perlu memaklumkan petugas KKM sebelum masuk ke pusat pengundian.

Dalam masa yang sama tambah beliau, digalakkan menggunakan cecair nyah kuman sebelum dan selepas mencelupkan jari pada dakwat.

“Nanti petugas KKM akan bawab pengundi yang positif terus ke laluan mengundi. Selepas selesai mereka boleh terus balik.

“Lebih selamat ikutlah SOP. Siapa yang positif guna cecair nyah kuman. Sebab kita bimbang virus boleh merebak di permukaan yang disentuh,” katanya lagi.

Pengundi lain pula katanya, amat digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika berada di pusat pengundian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya rasa lebih cermat, lebih baik daripada kita ambil risiko sebab beribu orang akan datang di pusat pengundian,” tambah Khairy. -MalaysiaGazette