KUCHING- Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya mahukan kerajaan pusat yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk memainkan peranannya sebagai pemerintah cekap dalam menjalankan tugas demi rakyat.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan pusat yang kukuh dan ampuh penting bagi membolehkan Malaysia berhadapan dengan kemelesetan ekonomi global yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
“Saya juga khuatir, kemungkinan keadaan ekonomi akan menjadi tidak begitu baik kerana kemelesetan, kita mesti mempunyai sesuatu (kerajaan kukuh) bagi kita mengatasi cabaran-cabarannya.
“Kita di sini (kerajaan GPS) adalah untuk memajukan negara dan rakyat, apa yang berlaku semasa penggal yang lepas kita melihat Malaysia terlalu banyak krisis, satu penggal tiga Perdana Menteri, kita (Sarawak) hendak kerajaan (kerajaan pusat) stabil,” katanya dalam program Untukmu Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1 malam tadi.
Sementara itu, Abang Johari berkata beliau juga berhasrat untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak berkelayakan untuk mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi dengan menggunakan Dana Kekayaan Berdaulat yang akan ditubuhkan kelak.
“Saya memang berhasrat untuk memberikan pendidikan setinggi-tingginya tanpa yuran kerana apa yang berlaku sekarang banyak anak kita yang tidak mampu menyambung pelajaran mereka kerana yuran tinggi, keduanya mereka memohon melalui UPU (Unit Pusat Universiti) yang kadang-kadang tidak dapat (ditolak). Kalau dapat pun bukan jurusan yang diminati atau dimohon.
“Kita sekarang mempunyai pendapatan yang baik, saya akan tubuhkan satu undang-undang untuk menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat yang akan menjadi pelaburan masa depan,” katanya.
Menurut Abang Johari, ordinan khusus bagi membolehkan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat itu akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dijangka berlangsung minggu depan.
— BERNAMA
Artikel berkaitan
https://malaysiagazette.com/2022/11/16/ph-tidak-boleh-bentuk-kerajaan-stabil-tanpa-gps/