Calon Pakatan Harapan (PH) P.119 Titiwangsa, Khalid Abdul Samad berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Jelajah Mega Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Desa Pandan, Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH)  Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad mempersoalkan tindakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang pernah menjadi Menteri Kewangan II di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengambil sikap berdiam diri berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara mendakwa, Johari mengetahui apa yang berlaku dalam isu 1MDB namun mengambil keputusan berdiam diri dan tidak menegur Najib.

Bagaimanapun jelas Khalid, apabila Najib dijatuhkan daripada Kerajaan BN, Johari sendiri mengakui tidak bersetuju dengan tindakan bekas Perdana Menteri keenam itu.

“Saya akan menentang apa jua corak penyelewengan salah guna kuasa dan rasuah dan sebagainya yang mana kita nampak ia berlaku sama ada daripada mana-mana pihak termasuk dari pihak kita.

“Kita akan bangun menentangnya dan saya hendak sebut di sini calon BN, Datuk Jo Ghani bukan calang-calang orang. Beliau jadi Menteri Kewangan II di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam soal 1MDB, dia tahu, dia diam, dia tidak bersuara, tidak menentang, tak tegur Najib akhirnya bila Najib sudah jatuh dia kata saya sebenarnya tidak setuju dengan 1MDB.

“Bila jadi minister, kenapa tak diam, bisu ? Husni (Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah) paling kurang sebelum Jo Ghani dia letak jawatan kerana protes.

“Saya apa jua jawatan diberikan dalam kerajan PH akan bangun akan menentang kerana saya tahu rakyat tidak mahu penyelewengan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkempen pada Kenduri Raya PH di Desa Pandan, di sini, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon Pakatan Harapan (PH) P.119 Titiwangsa, Khalid Abdul Samad pada Majlis Kenduri Rakyat Jelajah Mega Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Desa Pandan, Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

Johari menjawat jawatan Menteri Kewangan II antara Jun 2016 hingga Mei 2018, selain menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa antara 2013 hingga 2018.

Sementara itu, Parlimen Titiwangsa menyaksikan persaingan empat penjuru di antara calon BN, PH , Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun saingan lebih terarah kepada Johari dan Khalid.

Mereka juga dicabar oleh calon dari Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta doktor gigi, Dr Rosni Adam yang mewakili PN, calon tunggal wanita yang bertanding di kerusi itu.

Pada PRU14, Parlimen Titiwangsa dimenangi Datuk Seri Rina Harun yang mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi menewaskan Johari dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad.

Rina berpindah ke Parlimen Sepang pada PRU15. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.