Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Negeri Selangor, Datuk Dr Abd Rahman Bakri bercakap pada sidang media selepas pada Program Ramah Mesra Ketua Unit dan Ahli Jawatankuasa Unit Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan Bernam Jaya di Dewan Seri Peladang Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 NOVEMBER 2022.

SABAK BERNAM – Kurang sejam Jualan Murah Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang diadakan di Kampung Nelayan Sungai Besar di sini habis dijual sebaik sahaja dibuka bermula jam 9 pagi tadi.

Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, program itu bagi membantu mengurangkan kos sara hidup golongan B40 itu mendapat sambutan amat menggalakkan.

Beliau memberitahu, rata-rata penduduk berpuas hati dengan barangan keperluan itu yang dijual pada harga 20 hingga 30 peratus jauh lebih murah berbanding pasaran.

“Program jualan murah ini dianjurkan Nafas dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor ini bertujuan memberi peluang kepada penduduk sekitar membeli barang keperluan pada harga lebih menjimatkan,” katanya ketika ditemui di Balai Raya, Kampung Nelayan Sungai Besar, di sini, hari ini.

Dr Abd Rahman Bakri beramah mesra bersama peserta yang hadir pada Program Ramah Mesra Ketua Unit dan Ahli Jawatankuasa Unit Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan Bernam Jaya di Dewan Seri Peladang Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 NOVEMBER 2022.

Dalam pada itu, Abd Rahman juga memberitahu, sebanyak 600 barangan dijual termasuk ayam mentah, minyak masak dan beras di dua lokasi iaitu di Kampung Nelayan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya, pada sebelah petang ini

“Menerusi jualan murah itu, tiga barangan dijual ialah seekor ayam pada harga RM8, minyak masak dua dan lima kilogram masing-masing RM13 dan RM25 serta beras lima kilogram pada harga RM6,” jelasnya.

Menurutnya, program jualan harga patut sebelum ini telah dilaksanakan dengan bantuan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di 22 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan DUN Sungai Air Tawar.

“Ini bermakna program seperi ini telah menjelajah 11 lokasi iaitu masing-masing di DUN Sabak dan DUN Sungai Air Tawar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette