KUALA LUMPUR – Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia telah mengamalkan teknik pembakaran sifar dan mengenakan larangan ke atas pembakaran terbuka pada 1998 lagi.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, dasar pembakaran sifar ditetapkan di bawah Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Malah, pembakaran hutan tropika adalah dilarang dan bertentangan dengan undang-undang Malaysia
Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan untuk menyelaras langkah-langkah agensi kerajaan dalam menangani masalah pembakaran terbuka dan jerebu di negara ini.
Beliau berkata, pengawalseliaan paras air tinggi antara 40 dan 60 sentimeter merupakan salah satu elemen utama dalam Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) untuk mengawal kebakaran hutan.
Pengurusan yang baik dilaksanakan bagi mengurangkan kesan penanaman sawit di kawasan gambut di Malaysia dan peraturan paras air adalah kritikal dan sedang dilaksanakan di kawasan tanah gambut yang ditanam dengan pokok sawit, katanya.
Malaysia juga telah menerima pakai beberapa dasar utama termasuk melarang penanaman baharu sawit di kawasan tanah gambut dan mengukuhkan peraturan mengenai penanaman sawit sedia ada di tanah gambut, menyaksikan had jumlah kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar bagi memastikan penanaman sawit mampan.
”Langkah-langkah juga sedang dilaksanakan untuk meningkatkan pengurusan mampan landskap pengeluaran di tanah gambut melalui penetapan sasaran untuk pensijilan mandatori semua ladang dan pengeluaran pekebun kecil di atas tanah gambut dan tanah lain di bawah MSPO sejak 1 Januari 2020. Skim MSPO juga menggariskan langkah-langkah untuk meningkatkan kemampanan sektor komoditi dan pengurusan hutan.
”Kajian telah dijalankan ke atas tanah gambut di Malaysia khususnya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan sistem pengurusan mampan di tanah gambut adalah disyorkan.
”Pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Tanah Gambut dan strategi, dasar dan pelan tindakan berkaitan diharap mengurangkan pelepasan GHG yang berkaitan dengan saliran dan pembakaran hutan tanah gambut serta menambah baik pengurusan sistem perladangan dan pertanian dalam landskap yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Malaysia komited dalam menggalakkan pemuliharaan dan peningkatan stok karbon dalam hutan dan penggunaan tanah lain, dan menyokong pertanian pintar iklim.
Industri sawit Malaysia juga telah melaksanakan inisiatif pemuliharaan hutan dan menambah baik amalan perladangan.
Terdapat banyak pemacu kepada aktiviti penebangan hutan dan kajian mendedahkan bahawa sawit bukanlah punca utama penebangan hutan dan disahkan lagi oleh laporan Kesatuan Saintis Prihatin yang menyatakan bahawa industri ternakan, soya dan hasil kayu menyebabkan jumlah kehilangan hutan yang lebih tinggi berbanding sawit.
”Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa industri sawit adalah satu-satunya penyumbang besar kepada isu alam sekitar dan pemanasan global kerana terdapat banyak lagi aktiviti ekonomi yang bertanggungjawab dan menyumbang kepada isu pemanasan alam sekitar dan global,” katanya.
Ahmad Parveez menambah, kadar penebangan hutan Malaysia telah menurun kepada 0.09% bagi tempoh 2001 hingga 2010 manakala dari tahun 2010 hingga 2015, kawasan hutan telah meningkat sebanyak 2.0% kepada 18.25 juta hektar.
“Kadar penebangan hutan mula menurun pada 2016, disebabkan pelaksanaan MSPO yang diwajibkan mulai 1 Januari 2020,” tambahnya.
State of the World’s Forests 2020 melaporkan jumlah penebangan hutan telah menurun secara global, membuktikan keseimbangan antara pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan lestari hutan atau pembangunan memang wujud.
“Berdasarkan perspektif komitmen Malaysia termasuk Pensijilan MSPO, penurunan kadar penebangan hutan utama di Malaysia selama empat tahun berturut-turut, dari 2017 hingga 2020 mungkin telah menyumbang ke arah aliran menurun global,” katanya.
Penebangan hutan hujan asli juga dilarang untuk tujuan pertanian dan beberapa kawasan hutan hujan di Malaysia telah diwartakan dan perluasan tanah untuk sebarang tujuan adalah dilarang.
”Komitmen Malaysia ke arah memulihara kepelbagaian biologi dan pengurusan hutan yang mampan dapat diterjemahkan melalui ikrar yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992 – untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada hutannya. Kawasan hutan di Malaysia dilaporkan pada 58.18% daripada jumlah keluasan tanah pada 2020, menurut Bank Dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette