Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan

JERANTUT – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jerantut akan menumpukan isu pemilikan tanah dan pembangunan ekonomi berasaskan sektor pertanian dan pelancongan.

Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan@Chan, anak Kampung Pasir Mandi, Kerdau itu memaklumkan ramai penduduk mengadu masih tidak mempunyai tanah untuk tapak pertanian dan perumahan khususnya dalam kalangan orang muda.

Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu berkata, Jerantut antara yang paling luas di Semenanjung dan hairan isu pemilikan tanah masih tidak diberi perhatian oleh kerajaan sebelum ini.

“Masih ada yang berusia dan berstatus moyang, nenek dan aki masih tidak mempunyai tanah atau permohonan mereka tidak diluluskan, kini cuma menumpang tanah milik orang di kampung dan pedalaman.

“Tidak wajar berlaku kerana wujudnya pembangunan dan pendapatan yang tidak seimbang dalam sektor ekonomi dan sosial akibat daripada taraf pemilikan tanah, hasil bumi, peluang perniagaan serta agihan pendapatan daripada dividen badan berkanun dimonopoli oleh golongan yang kaya dan senang termasuk dalam kalangan keluarga mereka,” katanya di Bilik Gerakan PH di Taman Teratai di sini semalam.

Bekas pensyarah Bahasa Arab di Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Sains Islam Malaysia selanjutnya berkata, ketiadaan tanah menyebabkan penduduk bertambah susah dan wujud jurang besar antara kaya dan miskin.

“Isu kemiskinan khususnya wujud jurang antara kaya dan miskin menjadi tumpuan utama PH dan sebagai calon Parlimen Jerantut, saya akan selesaikan isu ini selepas memenangi PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) pada 19 November ini selari dengan aspirasi 10 tawaran PH.

“Begitu juga isu di Felda, saya cuba menyesaikan agihan lot tanah dan kediaman untuk generasi kedua di tanah rancangan yang masih tidak diagihkan sama rata sekali gus memberikan kesan kepada kehidupan anak peneroka sekali gus berhijrah ke tempat lain,” katanya.

Beliau berhasrat membawa pusat pengajian tinggi sekurang-kurangnya kampus cawangan dengan kerjasama seperti universiti awam dan institusi lain bagi memberikan peluang anak tempatan menimba ilmu dan kemahiran untuk persediaan pekerjaan di sektor kerajaan, swasta dan usahawan.

“Lokasi Jerantut memang sesuai diadakan kampus cawangan universiti tersebut kerana kedudukan di antara Temerloh dan Bentong termasuk Lipis boleh diadakan untuk kemudahan semua pihak dan sekali gus meningkat sosio-ekonomi dan budaya di kawasan Parlimen ini.

“Jerantut mempunyai aset alam sekitar yang luas, flora dan fauna, tanah subur, ada hasil mineral, Felda dan sebagainya memberikan tambah nilai universti tertentu menubuhkan kampus cawangan melibatkan pengajian biodiversiti, industri makanan, pertanian, pelancongan dan perhutanan untuk manfaat anak tempatan serta daerah berdekatan,” katanya.

Beliau menambah, PH akan terus menjenamakan Jerantut sebagai hab pelancongan untuk tarikan ramai bukan sahaja pelawat domestik malahan pengunjung seluruh dunia dan bagi pengeluaran sumber makanan sekali gus memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk.- MalaysiaGazette